Selasa, 24 March 2020 | 12:01am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: UK mulakan ujian tentukan ubat HIV, steroid sebagai rawatan

LONDON: Saintis di Universiti Oxford, Britain memulakan percubaan klinikal untuk menyiasat kesan ubat HIV dan steroid terhadap pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.

Menurut penyelidik, pesakit pertama sudah mendaftarkan diri dalam percubaan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan negara itu.

Ia akan menguji ubat dihasilkan syarikat Abbvie iaitu Kaletra, gabungan lopinavir dan ritonavir yang biasanya digunakan untuk mengubati HIV dan steroid dexamethasone bagi mengurangkan keradangan dalam pelbagai keadaan.

Penyelidik itu menegaskan bahawa walaupun ada kemungkinan ubat-ubatan yang sedia ada seperti ini mungkin bermanfaat dalam memerangi COVID-19, namun tiada jaminan ia akan berhasil.

Ketika percubaan berskala kecil hanya menggunakan ubat HIV dilakukan ke atas pesakit COVID-19 di China yang dalam keadaan teruk, saintis mendapati "tiada kesan yang dapat dilihat" pada replikasi.

Kumpulan penyelidik British yang diketuai Peter Horby, seorang profesor penyakit berjangkit di Universiti Oxford, mengatakan bahawa sejak keselamatan dan kesan sampingan kedua-dua ubat diketahui, percubaan itu nanti menumpukan kepada potensinya terhadap jangkitan COVID-19.

"Orang dewasa yang dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti COVID-19 harus diberi peluang untuk menyertai percubaan ini dan menyumbang kepada peningkatan kesihatan untuk semua orang," katanya.

Semua pesakit akan menerima penjagaan kesihatan penuh piawaian, tidak kira mereka diletakkan dalam kumpulan rawatan mana sekalipun.

"Pada masa akan datang, percubaan ini akan diperluaskan untuk menguji rawatan berpotensi yang lain apabila ia sudah tersedia," kata kumpulan itu. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X