Selasa, 24 March 2020 | 1:46pm
Anggota Unit Kecemasan Tentera (UME) Sepanyol memasuki rumah jagaan warga tua bagi melakukan semburan nyah kuman. - Foto REUTERS
Anggota Unit Kecemasan Tentera (UME) Sepanyol memasuki rumah jagaan warga tua bagi melakukan semburan nyah kuman. - Foto REUTERS

COVID-19: Warga emas mati terbiar di pusat jagaan

MADRID: Tentera Sepanyol diberi tugasan membantu memerangi penularan COVID-19 menemui warga emas yang terabai atau sudah meninggal dunia di pusat jagaan.

Tentera ditugaskan membasmi kuman di pusat jagaan warga emas yang lazimnya dihuni pesara itu antara yang paling terjejas akibat serangan coronavirus dengan puluhan kematian direkodkan di negara itu.

Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles, berkata anggotanya mendapati ada pesakit dibiarkan tanpa penjagaan rapi, malah ada sudah meninggal dunia di tempat mereka berada.

“Kita bertindak tegas dan tidak akan bertolak ansur dengan layanan yang diberikan kepada warga tua di pusat jagaan ini. Amat menyedihkan apabila pesakit yang sudah uzur terbiar tanpa penjagaan.

“Ada di antara mereka sudah tidak bernyawa dan entah berapa lama berada di atas katil masing-masing,” katanya dalam temu bual dengan saluran televisyen swasta Telecinco.

Pandemik COVID-19 sudah mengorbankan 2,182 nyawa dengan mencatatkan 462 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut statistik Kementerian Kesihatan Sepanyol.

Sementara itu, gelanggang meluncur ais di Palacio de Hielo atau Ice Palace, iaitu sebuah pusat beli-belah di Madrid, dijadikan rumah mayat sementara berikutan peningkatan mendadak mangsa yang maut.

Dalam perkembangan lain, 14 pusat persemadian di ibu negara menghentikan penerimaan mayat berikutan anggotanya tidak mempunyai pakaian pelindung diri yang mencukupi untuk dipakai ketika proses pengebumian.

Sementara itu, sebuah pusat konvensyen berdekatan dijadikan hospital sementara untuk menempatkan pesakit COVID-19 dengan menempatkan kira-kira 5,500 katil untuk tujuan rawatan.

Golongan berusia lebih berisiko dijangkiti virus pandemik global itu dan pegawai perubatan di seluruh dunia menggesa langkah berjaga-jaga lebih teliti diambil bagi melindungi mereka.

Menteri Kesihatan, Salvador Illa, berkata Rumah persaraan menjadi keutamaan kepada kerajaan dan kebajikan penghuninya akan dipastikan tidak terabai.

“Kita akan melakukan pemantauan lebih rapi terhadap pusat jagaan warga emas ini,” katanya.

“Di bawah protokol coronavirus, pekerja kesihatan sudah diarahkan jangan menyentuh mayat pesakit COVID-19 hingga ketibaan doktor.

“Bagaimanapun, memandangkan jumlah kematian yang meningkat mendadak dan kekurangan doktor, maka masa menunggu mungkin bertambah panjang,” katanya. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X