Khamis, 2 April 2020 | 3:19pm
Gambar fail Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi. - Foto REUTERS
Gambar fail Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi. - Foto REUTERS

Agensi nuklear PBB hantar kit ujian COVID-19 ke 40 negara

VIENNA: Agensi Atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bantuan awal peralatan kepada 40 negara bagi menjalankan ujian COVID-19 mengikut piawaian berdasarkan teknik sains nuklear.

Teknik itu merangkumi transkripsi-polimerase terbalik masa nyata (https://www/iaea.org/newscenter/new/how-is-the-covid-19-virus-detected-u...), atau masa nyata RT-PCR.

Ia lazimnya digunakan di negara maju untuk menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti dengan mengenalpasti RNA coronavirus iaitu cap jari genetik melalui sampel 'swab'.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terkenal dengan pemeriksaan nuklear di negara seperti Iran tetapi turut mempunyai mandat lain untuk membantu negara menggunakan nuklear bagi tujuan keamanan.

Agensi itu menerima permohonan untuk membantu ujian coronavirus daripada 90 negara anggotanya.

Kumpulan pertama adalah sebahagian daripada inisiatif luas yang dibiaya menerusi bajet IAEA dan sumbangan tambahan daripada negara anggota termasuk AS$6 juta (RM26.1 juta) oleh Amerika Syarikat (AS) dan AS$3.52 juta (RM15.3 juta) dari Kanada.

"Berpuluh makmal di Afrika, Asia, Eropah, Amerika Latin dan Caribbean akan menerima mesin serta kit diagnosis, bahan serta makmal mudah alih untuk mempercepatkan ujian, sekali gus mengekang penularan wabak.

"Mereka juga akan menerima bekalan bio keselamatan seperti peralatan perlindungan diri dan kabinet makmal untuk menjalankan analisis dan mengumpul sampel," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap sistem kesihatan di beberapa negara termasuk negara maju dan kit ujian itu adalah antara langkah berkesan bagi mengenalpasti wabak itu.

Iran, Mesir, Kenya, Nigeria, Thailand, Vietnam, Cuba, Peru dan Uruguay adalah negara awal yang akan menerima bantuan besar yang lebih berteknologi bernilai sekitar AS$4.37 juta (RM19 juta).

Negara penerima lain di Amerika Latin termasuk Venezuela, Colombia, Ecuador, Guatemala, Honduras dan Paraguay.

Bantuan tidak terkecuali di negara Asia apabila Kemboja, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Nepal, Filipina dan Sri Lanka turut menerima bantuan sama.

Di benua Afrika, Burkina Faso, Ivory Coast, Ethopia, Ghana, Liberia, Madagascar, Namibia, Senegal, Sudan dan Togo turut menerima bantuan sedemikian.

Lubnan dan Palestin juga menerima bantuan peralatan selain Armenia, Georgia, Bosnia dan negara di Kepulauan Caribbean termasuk Jamaica dan Republik Dominica.

Ketua IAEA, Rafael Grossi, memberi jaminan, kakitangannya sedang bekerja keras untuk memastikan peralatan kritikal dapat disampaikan secepat mungkin di kawasan sasar. - AGENSI

Berita Harian X