Selasa, 7 April 2020 | 11:37am
Jumlah keseluruhan jururawat di seluruh dunia ketika ini, seramai 28 juta dan ia mewakili lebih daripada separuh tenaga kerja perubatan di peringkat global. - Foto hiasan
Jumlah keseluruhan jururawat di seluruh dunia ketika ini, seramai 28 juta dan ia mewakili lebih daripada separuh tenaga kerja perubatan di peringkat global. - Foto hiasan

COVID-19: Dunia berdepan kekurangan 6 juta jururawat

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, hari ini memberi amaran dunia memerlukan khidmat sekurang-kurangnya enam juta jururawat bagi mengendalikan wabak pandemic COVID-19.

Dalam satu laporan oleh Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kerjasama Nursing Now dan Majlis Jururawat Dunia (ICN), jumlah keseluruhan jururawat di seluruh dunia ketika ini, seramai 28 juta dan ia mewakili lebih daripada separuh tenaga kerja perubatan di peringkat global.

Tedros berkata, jururawat adalah tulang belakang dalam mana-mana sistem kesihatan.

“Pada masa sekarang, kebanyakan jururawat melihat peranan mereka sebagai barisan hadapan dalam pertempuran bagi melawan COVID-19.

“Justeru, amat penting untuk jururawat ini diberikan sokongan yang mereka perlukan bagi membantu masyarakat dunia untuk terus hidup sihat.

“Bagaimanapun ketika ini seluruh dunia kekurangan sebanyak 5.9 juta tenaga kerja jururawat,” katanya.

Tedros berkata, negara miskin seperti Afrika, Asia Tenggara, Asia Barat dan sebahagian daripada Amerika Selatan berdepan jurang lebih besar berkaitan isu kekurangan jururawat ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton, dalam satu taklimat secara maya berkata seluruh dunia kini terdedah kepada kadar jangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain kesilapan berkaitan ubat-ubatan disebabkan isu kekurangan tenaga kerja dalam kalangan jururawat.

Katanya, dalam keadaan genting dengan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia, kekurangan ini menyebabkan jururawat yang sedang bertugas mengalami keletihan dengan beban kerja terus meningkat.

Catton berkata, di Itali seramai 23 jururawat dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 dan berdasarkan statistik semasa, kira-kira 100 pekerja kesihatan terkorban sepanjang bertugas mengendalikan wabak itu di seluruh dunia.

Bagi pengerusi bersama laporan berkenaan dari Nursing Now, Mary Watkins menggesa semua petugas kesihatan disaring bagi menguji sama ada mereka dijangkiti COVID-19.

“Sebahagian besar pekerja kesihatan enggan datang bekerja kerana mereka bimbang risiko dijangkiti.

“Apatah lagi mereka tidak mampu lari daripada risiko dijangkiti,” katanya - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X