Sabtu, 11 April 2020 | 11:26am
PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP
PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP

COVID-19: Boris Johnson sudah boleh berjalan dalam hospital

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kini sudah boleh berjalan di dalam hospital selepas 24 jam dikeluarkan dari unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19.

Jurucakap rasmi Downing Street berkata keadaan Johnson beransur pulih.

“Latihan berjalan itu antara penjagaan yang diterima untuk membantu proses pemulihannya.

“Ingatannya sentiasa bersama dengan mereka yang terjejas akibat wabak ini,” katanya.

Johnson meninggalkan ICU, Khamis lalu, selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital St Thomas, akibat keadaan kesihatannya yang semakin teruk.

Walaupun tahap kesihatan pemimpin berusia 55 tahun itu menggembirakan, malapetaka coronavirus bertambah buruk di Britain dengan kadar kematian bertambah 980 orang dalam tempoh 24 jam iaitu yang tertinggi setakat ini.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kematian di seluruh hospital mencecah 9,000 manakala kes positif meningkat kepada hampir 74,000 orang.

Namun, angka itu dikhuatiri hanya sebilangan kecil daripada jumlah sebenar yang dijangkiti kerana tidak semua diuji bagi COVID-19.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, berkata disebalik setiap angka korban itu ada nama, kehilangan seseorang dan keluarga yang mungkin tidak akan sama seperti sebelumnya.

“Kita semua berkongsi tanggungjawab untuk menangani virus ini dengan terus berada di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, umum masih risau mengenai kesan perintah berkurung di seluruh negara yang dikuat kuasa pada 23 Mac untuk membendung penularan COVID-19.

Setiausaha Luar, Dominic Raab, yang mengambil alih tanggungjawab Johnson, mempengerusikan mesyuarat menteri kanan hari ini, sebelum melakukan semakan terhadap perintah berkurung minggu depan.

Langkah yang dilaksanakan selama tiga minggu itu dijangka akan dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga akhir bulan ini. - AFP

Berita Harian X