Jumaat, 17 April 2020 | 8:15am
Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Foto AFP
Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Foto AFP

COVID-19: Putin dan Jinping kecam tindakan menyalahkan China lambat bertindak balas

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin China, Xi Jinping menolak sebarang tindakan bagi menyalahkan China yang didakwa lambat memaklumkan kepada dunia mengenai wabak COVID-19.

Putin dan Jinping berkata demikian selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan beberapa rakan sekutunya menyelar China kerana dikatakan gagal berkongsi data mengenai wabak itu dengan lebih pantas.

Washington juga sedang menyiasat asal-usul virus itu yang sudah mengorbankan lebih daripada 140,000 orang di seluruh dunia dan tidak tidak menolak kemungkinan ia berasal daripada makmal kajian kelawar di Wuhan, China.

Kremlin berkata, ketika panggilan telefon dengan Jinpin semalam , Putin memuji ‘tindakan yang konsisten dan berkesan’ oleh Cina ‘yang membolehkan keadaan epidemiologi di negara ini stabil’.

Kedua-dua pemimpin itu tidak merujuk langsung kepada kenyataan Rumah Putih tetapi menekankan bahawa cubaan menyalahkan China kerana tidak memberitahu dunia dengan cepat mengenai munculnya jangkitan virus itu boleh memberikan kesan tidak baik.

Jinping berkata, tindakan untuk mempolitikkan pandemik itu boleh ‘merugikan kerjasama antarabangsa’.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahwa Putin menyebut `cubaan beberapa pihak untuk memburuk-burukkan China’, berhubung virus itu sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Sejak muncul di China pada akhir tahun lalu, pandemik COVID-19 menyebabkan dunia menjadi huru hara dan memaksa separuh daripada penduduk seluruh dunia berkurung di dalam rumah dan menyebabkan ekonomi global jatuh merudum.

Kremlin berkata, Putin dan Jinping juga menekankan "perkongsian strategik" kedua negara dan menyatakan bahawa Rusia dan China bersedia saling membantu membendung wabak ini dengan bertukar kepakaran dan membekalkan peralatan perubatan, alat pelindung serta ubat-ubatan.

"Kedua-dua pemimpin menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua negara kita akan berjaya membendung wabak ini dengan terus bekerja sama secara rapat," kata Pejabat Putin. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X