Isnin, 18 Mei 2020 | 8:52pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP

COVID-19 pembuka mata kepada dunia - PBB

GENEVA: Pandemik COVID-19 harus menjadi pembuka mata kepada dunia, yang menuntut semua negara bersatu padu menentang krisis yang dihadapi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata virus itu menjadi cabaran terbesar zaman sekarang dan mendedahkan kelemahan global dalam usaha menanganinya secara bersepadu.

"Setiap negara mengikut haluan masing-masing dan ini menjadi pengajaran kepada kita untuk membina dunia yang lebih baik tetapi adakah semua negara bersedia?

"Meskipun mencapai kehebatan dalam bidang saintifik dan teknologi, virus ini memaksa kita melutut," katanya dalam ucapan pembukaan sidang Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) hari ini, yang diadakan secara maya.

WHA adalah acara tahunan utama anjuran pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 1948, tetapi kali ini disingkatkan kepada mesyuarat secara maya selama dua hari berbanding kelaziman tiga minggu.

Kata Guterres, pandemik itu bukan saja mendedahkan kelemahan sistem kesihatan tetapi juga cara institusi antarabangsa menangani krisis, baik perubahan iklim, keselamatan siber mahupun penghapusan senjata nuklear.

"Kita melihat sedikit solidariti tetapi tiada perpaduan dalam kalangan kita untuk menentang COVID-19.

"Lain negara, lain pula pendekatan, malah ada yang strateginya bercanggah dan akhirnya semua menanggung akibatnya, kita semua membayar 'harga yang besar'.

"Banyak negara tidak mengendahkan saranan WHO dan akibatnya, virus ini menjadi pandemik global, malah ia kini menular lebih cepat di hemisfera selatan, di mana kesannya dijangka lebih dahsyat," katanya.

Tegas beliau, sekiranya COVID-19 tidak dapat dibendung, maka ekonomi global tidak akan pulih.

"Kita boleh melakukannya tetapi adakah kita akan buat begitu? Sama ada kita atasi pandemik ini bersama atau gagal bersama," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X