Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:44pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AFP

PBB ulangi gesaan gencatan senjata bagi memerangi COVID-19

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengulangi gesaan supaya semua pihak bertelagah di serata dunia mematuhi gencatan senjata dan menumpukan usaha bagi memerangi pandemik COVID-19.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, berkata konflik global yang mengakibatkan lebih 200,000 mangsa maut atau cedera selain lebih 70 juta terpaksa menjadi pelarian di 10 negara tahun lalu, akan menyukarkan lagi usaha menentang virus itu.

"Dalam laporan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu ini, pandemik COVID-19 disifatkan sebagai ujian terbesar yang sedang dihadapi dunia sejak penubuhan badan dunia ini 75 tahun lalu.

"Sokongan yang diterima PBB daripada pertubuhan serantau, kumpulan bersenjata, masyarakat dan individu di seluruh dunia berhubung rayuan gencatan senjata pada 23 Mac lalu adalah sangat menggalakkan.

"Bagaimanapun, masih terdapat halangan untuk melaksanakan gencatan senjata terutama di daerah yang berdepan dengan konflik berpanjangan," katanya.

Tambah beliau, ketika dunia berdepan dengan cabaran besar pandemik COVID-19, keperluan bagi gencatan senjata adalah kritikal.

Antara negara yang terbabit dalam konflik peperangan sepanjang tahun lalu termasuk Afghanistan, Republik Afrika tengah, Iraq, Libya, Nigeria, Somalia, Sudan Selatan, Syria, Ukraine dan Yaman.

Namun, kata Guterres, statistik UNSC itu bukanlah angka sebenar kerana ia tidak membabitkan mangsa orang awam dalam konflik di Cameroon, Chad, Congo, Mali, Myanmar, Niger, wilayah Darfur barat di Sudan dan wilayah Palestin.

"PBB sememangnya mengalami kesukaran untuk membantu orang awam di zon dilanda konflik, apatah lagi dengan penularan COVID-19 kerana kebanyakan kawasan terbabit tidak memiliki kemudahan perubatan atau rawatan yang mencukupi.

"Pendekatan terbaik sekarang ialah hentikan konflik dan cuba berusaha membendung penularan virus yang mampu meragut lebih banyak nyawa tanpa mengira mangsa," katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan daripada pandemik itu untuk melancarkan serangan kerana dunia kini lebih tertumpu kepada menangani masalah COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X