Ahad, 24 Mei 2020 | 1:56pm
Orang ramai bersiar-siar di kawasan Pedregalejo Beach, Malaga, semalam. - FOTO AFP
Orang ramai bersiar-siar di kawasan Pedregalejo Beach, Malaga, semalam. - FOTO AFP

COVID-19: Sepanyol buka semula kemasukan pelancong asing 1 Julai

MADRID: Sepanyol semalam mengumumkan bahawa negara ini akan membenarkan kemasukan pelancong asing dan memulakan semula liga bola sepak utama dalam beberapa minggu akan datang.

Langkah itu mempercepatkan Eropah keluar daripada perintah berkurung yang ketat susulan penularan COVID-19, walaupun wabak berkenaan terus merebak di Amerika Selatan.

Brazil mencatatkan jumlah kematian melepasi 21,000 mangsa, kelmarin, bersama 330,000 jangkitan yang merupakan ketiga tertinggi di dunia.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula menghantar isyarat jelas bahawa beliau secara peribadi menikmati kehidupan normal apabila bermain golf di pinggir bandar Virginia, iaitu kali pertama beliau keluar seumpama itu sejak 8 Mac lalu.

Di seluruh Eropah, banyak kerajaan memanfaatkan cuaca seperti musim bunga dan tahap jangkitan kian stabil untuk keluar daripada penutupan ekonomi, sekali gus menuju ke arah langkah penjarakan sosial lebih longgar yang diharap akan menghidupkan semula sektor perniagaan serta pelancongan di negara masing-masing.

Di Sepanyol yang melaksanakan antara perintah berkurung paling ketat di dunia sejak pertengahan Mac lalu, Perdana Menteri, Pedro Sanchez, mengumumkan pembukaan semula sektor pelancongan yang cukup penting bagi Eropah, selain sukan bola sepak.

Sanchez berusaha meyakinkan pelancong dengan menyatakan bahawa mulai 1 Julai depan, 'kemasukan pelancong asing ke Sepanyol akan dibuka semula dalam keadaan yang selamat', manakala liga bola sepak, La Liga pula kembali pada 8 Jun. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X