Ahad, 24 Mei 2020 | 3:48pm
Cummings keluar dari keretanya ketika tiba di kediaman beliau di London, semalam. - FOTO AFP
Cummings keluar dari keretanya ketika tiba di kediaman beliau di London, semalam. - FOTO AFP

COVID-19: Britain tolak desakan pecat penasihat utama didakwa langgar perintah berkurung

LONDON: Kerajaan Britain semalam menolak desakan untuk memecat penasihat utama, Dominic Cummings yang didakwa melanggar peraturan perintah berkurung dengan melakukan perjalanan ketika mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Cummings yang mengumumkan dirinya mengalami simptom wabak itu pada 30 Mac lalu, dikatakan dilihat bersama anak lelaki berdekatan kediaman ibu bapa beliau di Durham di timur laut Englan, terletak lebih 400 kilometer dari kediamannya di London pada 31 Mac.

Mengikut peraturan perintah berkurung yang berkuat kuasa 23 Mac lalu, sesiapa yang mempunyai simptom mesti menjalani pengasingan diri di rumah masih-masing. Mereka yang berusia 70 tahun ke atas - seperti ibu bapa Cummings - tidak dibenarkan menerima pelawat.

Pembangkang Britain, Parti Buruh, menyifatkan tindakan Cummings itu seolah-olah menggambarkan dirinya mengatasi undang-undang, manakala Parti Liberal Demokrat pula berkata, ia mungkin membawa kepada isu peletakan jawatan.

"Rakyat melakukan pengorbanan luar biasa ketika pandemik dan perintah berkurung. Tidak boleh ada satu peraturan untuk mereka yang menetapkan arahan itu dan satu yang lain bagi rakyat Britain," kata pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer.

Bagaimanapun, jurucakap kepada Perdana Menteri, Boris Johnson, berkata Cummings bertindak 'sejajar garis panduan COVID-19'.

"Berikutan isterinya disyaki dijangkiti COVID-19 dan berkemungkinan besar beliau sendiri akan menjadi tidak sihat, adalah penting untuk Dominic Cummings memastikan anaknya yang masih kecil dijaga dengan baik.

"Kakak dan anak saudaranya menawarkan diri untuk membantu, justeru beliau ke rumah yang berdekatan tetapi berasingan daripada keluarganya, jika mereka memerlukan pertolongan," kata jurucakap itu, semalam. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X