Ahad, 24 Mei 2020 | 6:42pm
Buaya yang terselamat ketika serangan bom Perang Dunia II maut pada usia 84 tahun.
Buaya yang terselamat ketika serangan bom Perang Dunia II maut pada usia 84 tahun.

Buaya yang pernah mengharungi Perang Dunia II maut pada usia 84 tahun

MOSCOW: Seekor buaya Mississippi yang terselamat ketika serangan bom di Zoo Berlin pada 1943 dan ditempatkan di Jerman Timur selepas Perang Dunia II, menemui ajal pada usia 84 tahun.

Zoo Moscow, dalam satu kenyataan semalam, berkata kematian buaya yang diberi nama Saturn itu menandakan 'penamatan satu era', namun dianggap sesuatu yang membanggakan kerana haiwan itu jarang melepasi usia 50 tahun di habitat liar.

Selepas dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) pada 1936, reptilia itu dipindahkan ke Zoo Berlin, di mana ia berjaya melarikan diri pada 23 November 1943 berikutan serangan bom yang membunuh beberapa buaya lain yang ada bersamanya.

Pada 1946, buaya itu ditemui oleh tentera British, yang menyerahkannya kepada pihak berkuasa Soviet dan menurut pihak zoo, statusnya semasa ia hilang selama tiga tahun masih menjadi misteri.

Pada Julai 1946, Saturn dibawa ke Moscow dan ketika itu, timbul pelbagai khabar angin, antaranya mengatakan haiwan itu adalah sebahagian daripada koleksi peribadi pemimpin nazi Jerman, Adolf Hilter.

Haiwan terbabit amat memilih makanan dan suka diurut menggunakan berus, namun pihak zoo berkata menganggap 'khidmat' kepada Saturn sebagai satu penghormatan.

"Ia datang kepada kami selepas Russia berjaya menewaskan nazi Jerman dan kami menyambut ulang tahun ke-75 kejayaan itu bersama.

"Kesempatan menghabiskan masa sebegitu lama dengan Saturn amat menyeronokkan dan diharap kami melakukan yang terbaik serta tidak mengecewakan Saturn," kata pihak Zoo Moscow. - AFP

Berita Harian X