Isnin, 25 Mei 2020 | 7:09pm

COVID-19: Laporan media Malaysia lebih dipercayai

LONDON: Menurut kajian syarikat penyelidikan global berpangkalan di United Kingdom (UK), YouGov, Malaysia satu-satunya negara yang memberi maklum balas sahih bagi setiap pertanyaan mengenai perkembangan COVID-19.

Ini menjadikan laporan medianya lebih dipercayai berbanding maklumat daripada keluarga dan kenalan berikutan Malaysia mempunyai pelbagai saluran maklumat sahih bagi melaporkan isu COVID-19.

Sama ada maklumat media, kerajaan, keluarga dan kenalan atau maklumat secara langsung daripada golongan profesional penjagaan kesihatan, rakyat Malaysia berpendapat semua kategori itu sebagai kumpulan yang boleh dipercayai.

Lebih 80 peratus responden 'mempercayai sepenuhnya' atau 'agak mempercayai' sumber maklumat itu.

Di kebanyakan negara lain, rakyatnya lebih mempercayai maklumat keluarga atau rakan mereka berbanding laporan media, bertentangan dengan Malaysia, di mana media memberi maklum balas yang baik.

Ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempercayai pesanan berantai secara dalam talian seperti WhatsApp atau Telegram, sekali gus tidak memanjangkan kepada pihak lain kerana mungkin mengandungi berita palsu.

Sejak wabak bermula, ada maklumat mengatakan vitamin C boleh menyembuhkan COVID-19, namun media dan kerajaan menafikan tuntutan tanpa bukti asas itu.

Maklumat mesej berantai agak meragukan, justeru rakyat lebih bergantung pada sumber berita dipercayai untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan.

Selain itu, rakyat Malaysia sangat mempercayai pandangan profesional sektor penjagaan kesihatan, diikuti kerajaan, media dan terakhir, maklumat daripada rakan serta keluarga mereka.

Melalui kaji selidik sama, kebanyakan orang di Asia melihat COVID-19 semakin baik, misalnya 89 peratus rakyat China merasakan negara itu semakin pulih dan hanya dua peratus merasakan keadaan akan bertambah buruk.

Vietnam pula, mencatatkan 88 peratus keadaan wabak bertambah baik dan tiga peratus merasakan sebaliknya manakala kira-kira 88 peratus responden Taiwan merasakan keadaan bertambah baik dan lima peratus lagi sebaliknya.

Namun di Eropah, kira-kira 83 peratus responden di Itali meletakkan krisis COVID-19 itu terburuk bagi mereka, sementara tujuh peratus merasakan keadaan itu tidak ditakrifkan sebagai terburuk.

Mexico pula berpendapat, keadaan semakin buruk dengan kira-kira 63 peratus bersetuju dengannya, sementara 30 peratus mengatakan negara itu melepasi kemuncak wabak.

Secara keseluruhan, 55 peratus responden Filipina, India (53 peratus), Indonesia (53 peratus) percaya keadaan masih terkawal. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X