Isnin, 25 Mei 2020 | 9:26pm
Larangan makan di kaunter tertera di kafe tepi pantai di Ostia, barat Rom berikutan perintah berkurung akibat COVID-19 dilonggarkan. Foto AFP
Larangan makan di kaunter tertera di kafe tepi pantai di Ostia, barat Rom berikutan perintah berkurung akibat COVID-19 dilonggarkan. Foto AFP

Itali syor 60 sukarelawan untuk langkah pasca COVID-19

ROM: Itali mengesyorkan penyelarasan 60,000 sukarelawan sebagai 'pembantu sivik' bagi melaksanakan langkah berjaga-jaga pasca COVID-19.

Mereka akan bertanggungjawab mengingatkan orang ramai mengenai langkah pencegahan yang perlu dipatuhi apabila negara itu melonggarkan perintah berkurung.

Cetusan ilham Menteri Hal Ehwal Serantau, Francesco Boccia dan Datuk Bandar Bari, Antonio Decaro itu akan dianggotai golongan pesara serta penganggur.

Unit perlindungan sivil, yang mengendalikan pelbagai sukarelawan menentang pandemik COVID-19, akan bertanggungjawab merekrut mereka.

Sukarelawan terbabit akan menjawab soalan dan mengingatkan umum mengenai penjarakan sosial dan keperluan memakai pelitup muka di tempat awam, namun mereka tidak diberi kuasa mengenakan denda.

Decaro berkata beberapa sukarelawan terbabit sudah pun melakukan khidmat sosial seperti menghantar barangan keperluan atau ubat-ubatan kepada mereka yang tidak dapat meninggalkan rumah ketika perintah berkurung.

"Dalam fasa baharu ini, mereka akan mengawal akses ke taman awam atau pasar dengan mengehadkan jumlah orang yang keluar masuk.

"Mereka juga akan menjelaskan mengenai peraturan berkaitan apabila pantai dibuka semula," katanya yang juga Presiden Persatuan Majlis Perbandaran Itali.

Beberapa pihak berkuasa mengalu-alukan pendekatan itu kerana akan banyak membantu dalam kesibukan mengawal pengunjung di bar, kafe dan pantai selepas perintah berkurung selama dua bulan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X