Selasa, 26 Mei 2020 | 8:59am
Petugas kesihatan dan wakil kesatuan pekerja memegang sepanduk ketika mengadakan perhimpunan bagi menuntut penambahbaikan di tempat kerja, gaji dan rawatan pesakit di sektor perubatan berhampiran Kementerian Kesihatan di Paris. - Foto AFP
Petugas kesihatan dan wakil kesatuan pekerja memegang sepanduk ketika mengadakan perhimpunan bagi menuntut penambahbaikan di tempat kerja, gaji dan rawatan pesakit di sektor perubatan berhampiran Kementerian Kesihatan di Paris. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah kes positif dunia terus meningkat 5.47 juta

PARIS: Jumlah kes positif COVID-19 kini melebihi 5.47 juta di 196 negara, menyaksikan pertambahan 100,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Virus berkenaan sudah membunuh kira-kira 344,107 orang sejak ianya dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu, menurut data disusun AFP.

Dalam pada itu, dunia terus menyaksikan perkembangan positif berdasarkan kepada bilangan pesakit yang sudah pulih.

Sebanyak 2.13 juta pesakit COVID-19 di seluruh dunia sudah pulih dan dibenarkan discaj.

Enam negara terus mencatatkan kes positif melebihi 200,000 dengan Amerika Syarikat (AS) satu-satunya negara yang mempunyai kes melebihi 1 juta, dengan jumlah kumulatif 1.66 juta.

Lima negara lain yang mempunyai kes positif melebihi 200,000 kes ialah Brazil, Rusia, United Kingdom, Sepanyol dan Itali.

Enam negara mempunyai angka jangkitan melepasi 100,000 kes ialah Perancis, Jerman, Turki, India, Peru dan Iran.

Kanada pula merekodkan angka jangkitan melepasi China dengan masing-masing merekodkan 86,000 dan 84,000 kes.

Sementara itu, tiga negara kini melepasi 30,000 kes kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia.

AS kekal sebagai negara merekodkan kematian tertinggi dan melepasi 98,000 kes.

United Kingdom dan Itali berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatatkan lebih 36,000 dan 32,000 kes, manakala negara keempat dan kelima adalah Perancis dan Sepanyol dengan masing-masing merekodkan 28,000 dan 26,000 kes. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X