Jumaat, 29 Mei 2020 | 8:08am
Jurucakap Menteri Luar, Maria Zakharova. - Foto AFP
Jurucakap Menteri Luar, Maria Zakharova. - Foto AFP

Russia selar dasar luas AS sebagai 'berbahaya'

MOSCOW: Russia menyelar Amerika Syarikat (AS) sebagai berbahaya dan sukar diramal selepas negara itu menarik diri daripada perjanjian ketenteraan dan bertindak meningkatkan tekanan terhadap Iran.

Pihak yang masih kekal dalam perjanjian nuklear dengan Iran itu termasuk China, Perancis, Jerman, Russia dan Britain.

Jurucakap Menteri Luar, Maria Zakharova, membuat kenyataan itu selepas AS mengumumkan akan menamatkan pengecualian sekatan terhadap negara yang masih kekal menyertai perjanjian nuklear ditandatangani dengan Iran.

"Tindakan AS menjadi semakin berbahaya dan sukar diramal selain bersifat mengganggu ketenteraman sedia ada," katanya yang turut menuduh Washington memperkecilkan isu keselamatan antarabangsa.

Pegawai AS pula dilaporkan berkata pihaknya akan menarik diri daripada Perjanjian Open Skies dan memberi notis segera menamatkan kebenaran pihak tentera negara anggota melakukan penerbangan tinjauan di ruang udara mereka.

Zakharova turut mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menarik diri daripada perjanjian peluru berpandu INF tahun lalu.

Badan dunia itu juga ditegur kerana gagal memperbaharui komitmen kepada perjanjian kawalan senjata New START bersama Russia yang akan berakhir tahun depan.

Pada 2018, Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian penting yang dapat membendung kegiatan nuklear Iran secara ketara dan mengenakan sekatan ke atas negara itu.

Kelmarin, AS mengumumkan penamatan pengecualian sekatan terhadap negara kekal menyertai perjanjian nuklear Iran itu, sekali gus melumpuhkan persefahaman yang sedia ada.

Minggu lalu, Trump turut mengumumkan rancangan AS menarik diri daripada perjanjian Open Skies, atas alasan Russia melanggar perjanjian itu. - AFP

Berita Harian X