Isnin, 1 Jun 2020 | 10:15pm
Pelawat berdiri bersebelahan monumen Colosseum yang kembali dibuka selepas Itali melonggarkan syarat perintah berkurung. Foto AFP
Pelawat berdiri bersebelahan monumen Colosseum yang kembali dibuka selepas Itali melonggarkan syarat perintah berkurung. Foto AFP

Dakwaan doktor terkemuka COVID-19 'sudah tidak wujud' cetus perbalahan

ROM: Dakwaan seorang doktor terkemuka bahawa COVID-19 'sudah tidak wujud' di negara itu menggemparkan Itali, namun pada masa sama kerajaan menggesa rakyat sentiasa berhati-hati.

Itali bersiap sedia melonggarkan perintah berkurung yang dilaksanakannya sejak tiga bulan lalu.

Malah, pelancong asing dibenarkan memasuki negara itu, manakala rakyat juga boleh melakukan pergerakan merentas negeri bermula Rabu ini.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa ia kini dalam fasa berbahaya susulan penularan pandemik terbabit yang setakat ini meragut 33,500 nyawa.

Kerajaan juga menggesa rakyat supaya mematuhi peraturan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan wabak itu sekali lagi.

"Secara realitinya, virus itu sudah tidak wujud lagi di Itali.

"Ujian calit yang dilakukan sejak 10 hari lalu menunjukkan kadar tular yang sangat kecil dari segi kuantitatif berbanding dengan apa yang dilakukan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lalu," kata Pengarah Hospital San Raffaele, Dr Alberto Zangillo.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama televisyen RAI.

Bagaimanapun dakwaan doktor terbabit tidak seiring dengan kenyataan kebanyakan pakar, malah kerajaan turut memberi amaran bahawa ia terlalu awal bagi membuat sebarang kesimpulan.

"Masih belum ada bukti saintifik yang menyokong tesis bahawa virus itu sudah tidak wujud. Saya ingin menjemput mereka yang yakin kononnya virus itu sudah hilang supaya tidak mengelirukan rakyat," kata Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan, Sandra Zampa dalam satu kenyataan.

Pengarah Majlis Kesihatan Kebangsaan, Franco Locatelli, turut bingung dengan kenyataan Zangrillo.

"Sudah cukup sekadar melihat jumlah kes positif baharu yang disahkan setiap hari bagi melihat penularan COVID-19 yang masih berterusan di Itali," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Spallazani, Giuseppe Ippolito, berkata tiada sebarang bukti saintifik yang menyokong bahawa virus itu berubah atau bermutasi.

Semalam, Itali melaporkan sebanyak 355 kes baharu terutama di wilayah Lombardy. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X