Khamis, 4 Jun 2020 | 10:55am
Kira-kira 3,000 orang di Athens menyertai bantahan dengan membawa sepanduk mengecam perkauman. - Foto AFP
Kira-kira 3,000 orang di Athens menyertai bantahan dengan membawa sepanduk mengecam perkauman. - Foto AFP

Penunjuk perasaan lontar molotov cocktail bantah kematian George Floyd

ATHENS: Penunjuk perasaan di Greece melemparkan bahan letupan dipercayai molotov cocktail ke arah polis dan pasukan itu bertindak melepaskan gas pemedih mata di Athens semalam, dalam demonstrasi menentang perkauman dan keganasan polis yang menggegarkan seluruh Amerika Syarikat (AS).

Kematian George Floyd, seorang lelaki Afrika-Amerika yang tidak bersenjata, bukan saja mencetuskan protes di AS, tetapi membawa demonstrasi solidariti ke seluruh dunia termasuk Stockholm dan Helsinki.

Di Athens, kira-kira 3,000 orang menyertai bantahan dengan membawa sepanduk mengecam 'perkauman', 'negara Amerika yang membunuh' dan 'imperialisme'.

Sekumpulan penunjuk perasaan muda dilihat melemparkan Molotov cocktail ke arah polis dalam rusuhan berhampiran Kedutaan AS di ibu negara Greece, kata seorang jurugambar AFP.

Polis kemudiannya menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Sebilangan kumpulan penunjuk perasaan juga membakar tong sampah.

Sementara itu, dalam rusuhan lain semalam, sekitar 3,000 penduduk berarak di ibu kota Finland, Helsinki, melaungkan 'Black Lives Matter' dan memegang papan sepanduk tertera perkataan 'I can't breathe'.

"Bukan sahaja di Finland, di mana-mana saja terdapat perkauman, sebagai contoh di bar, kelab malam, pusat membeli-belah," kata penunjuk perasaan Omar, yang berasal dari Gambia dan menetap di Finland selama 16 tahun, kepada AFP.

Beberapa ribu penunjuk perasaan juga berkumpul di Stockholm dengan kebanyakannya memakai pelitup separuh muka, namun polis secara beransur-ansur menyuraikan perhimpunan itu kerana larangan mengadakan perhimpunan lebih dari 50 orang di Sweden akibat pandemik COVID-19.

Anggota polis kulit putih Minneapolis yang bertindak menekan lutut pada leher Floyd sebelum lelaki itu meninggal dunia pada 25 Mei lalu, akan didakwa dengan tuduhan pembunuhan tahap kedua, di mana dokumen mahkamah yang didedahkan semalam, menyatakan tiga rakannya juga akan disabitkan tuduhan sama. - AFP

Berita Harian X