Isnin, 8 Jun 2020 | 8:03am
Penunjuk perasaan membantah kematian George Floyd di 42nd Street berdekatan Times Square di New York. - AFP
Penunjuk perasaan membantah kematian George Floyd di 42nd Street berdekatan Times Square di New York. - AFP

Penduduk Eropah sertai protes antiperkauman

MADRID: Penunjuk perasaan berarak di seluruh Eropah menuntut keadilan dalam isu perkauman yang dicetuskan daripada kematian seorang Afrika-Amerika, George Floyd akibat kekejaman polis Amerika Syarikat (AS).

Sebuah klip video dengan Floyd merayu di Minneapolis ketika seorang polis berkulit putih melutut di lehernya mencetuskan protes di seluruh dunia, bahkan ketika negara dunia masih menghalang penganjuran sebarang aktiviti membabitkan orang ramai dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Ribuan berkumpul di luar kedutaan AS di Madrid, menuntut keadilan dan menjerit 'Saya tidak dapat bernafas' yang menjadi kata-kata terakhir Floyd.

Rasisme tidak mengenal sempadan, kata Leinisa Seemdo, seorang penterjemah Sepanyol berusia 26 tahun dari Cape Verde.

"Di semua negara tempat saya tinggal, saya mengalami diskriminasi kerana warna kulit saya."

"Sangat sukar untuk tinggal di sini," kata migran Senegal, Morikeba Samate, 32, seorang daripada ribuan yang tiba di Itali selepas mengharungi perjalanan merbahaya merentasi Laut Mediterranean.

Kematian Floyd bulan lalu mencetuskan tunjuk perasaan awam yang paling serius dan meluas di AS sejak Martin Luther King dibunuh pada 1968.

Pegawai polis, Derek Chauvin, didakwa dengan pembunuhan tahap dua sementara tiga pegawai lagi menghadapi tuduhan yang lebih rendah.

Lebih 1,000 orang pada Ahad menyertai tunjuk perasaan Black Lives Matter berhampiran kedutaan AS di Budapest.

Penyanyi reggae Hungaria, G Ras memberitahu penunjuk perasaan yang bersorak: "Jika kita ingin hidup di dunia yang lebih baik, kita perlu mengubah cara hidup kita secara radikal."

Hampir 4,000 orang menghadiri dua acara serupa di Belanda.

Ribuan orang berarak di bandar-bandar di seluruh Britain.

Artis hip hop Stormzy menyertai penunjuk perasaan yang berarak untuk hari kedua di London walaupun terdapat risiko penularan COVID-19 dalam perhimpunan besar.

Di ibu kota Scotland Edinburgh, penyanyi Lewis Capaldi adalah antara mereka yang menyertai perhimpunan sana.

Di Lausanne, Switzerland, penunjuk perasaan berpakaian hitam melaungkan "warna saya bukan ancaman", sementara hampir 10,000 orang berarak di Brussels, kata polis. - AFP

Berita Harian X