Khamis, 25 Jun 2020 | 8:43pm
Gambar fail, Bendera kebangsaan Denmark dilihat di Copenhagen, Denmark.
Gambar fail, Bendera kebangsaan Denmark dilihat di Copenhagen, Denmark.

COVID-19 meningkat mendadak di Eropah lepas longgar sekatan

COPENHAGEN: Kadar jangkitan COVID-19 di Eropah meningkat mendadak sejak negara di rantau itu mula melonggarkan sekatan bagi mengekang penularan virus itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Pengarah Wilayah WHO Eropah, Hans Kluge, berkata minggu lalu Eropah melihat peningkatan kes mingguan untuk pertama kali dalam beberapa bulan.

"Berpuluh negara di Eropah melihat peningkatan virus maut ini, dengan 30 negara menunjukkan peningkatan kes kumulatif baharu dalam tempoh dua minggu lalu.

"Dalam kalangan 11 negara daripada 30 negara itu, penularan pantas menyebabkan lonjakan yang sangat ketara dan jika dibiarkan, akan mengancam Eropah sekali lagi," katanya.

Bagaimanapun Kluge tidak mendedahkan nama negara berkenaan atau perincian angka kes.

Jerman, yang mula melonggarkan sekatan sekitar tujuh minggu lalu, adalah antara negara terjejas teruk manakala Portugal mengenakan sekatan baharu di sekitar ibu kotanya kelmarin.

Kelmarin, Jerman menguatkuasa semula perintah berkurung terhadap lebih 600,000 orang di dua negeri di barat selepas penularan tercetus di rumah sembelihan, yang menjangkiti lebih 1,500 orang.

Kata Kluge, Eropah melaporkan penurunan jumlah kes sekitar 200,000 kes baharu harian termasuk lebih 700 kematian berbanding angka global pada awal tahun ini, ketika pandemik itu menghentam teruk Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, beliau memuji Poland, Jerman, Sepanyol dan Israel atas tindakan pantas mereka mengekang penularan wabak di sekolah, lombong arang batu dan premis pengeluaran makanan sejak beberapa minggu lalu.

"Di mana kluster kes baharu muncul, negara berkenaan mengawal dengan pantas melalui intervensi secara bersasar, ini berita yang baik," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X