Selasa, 30 Jun 2020 | 4:01pm
Britain kembali melaksanakan langkah sekatan terhadap bandar Leicester yang terjejas teruk akibat COVID-19. - Foto AFP
Britain kembali melaksanakan langkah sekatan terhadap bandar Leicester yang terjejas teruk akibat COVID-19. - Foto AFP

UK kembali kenakan sekatan ke atas Leicester

LONDON: Britain kembali melaksanakan langkah sekatan terhadap bandar Leicester yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Ia antara ujian pertama Perdana Menteri, Boris Johnson, dalam strategi mengawal penyebaran virus sementara menggerakkan semula sektor ekonomi.

Menteri mengarahkan sekolah dan kedai bukan perkhidmatan istimewa ditutup kembali dan menangguhkan rancangan pembukaan kelab malam di tengah bandar Leicester selepas peningkatan kes COVID-19 berlaku.

Britain berdepan kadar kematian yang tinggi di Eropah iaitu mencecah 43,000, namun Johnson bulan lalu mula melonggarkan sekatan duduk di rumah di seluruh negara, yang dilaksanakan sejak akhir Mac lalu.

Walaupun dikritik bertindak terlalu pantas, dengan kadar jangkitan dan kematian semakin berkurangan, beliau berikrar untuk mengatasi wabak itu dengan mengambil tindakan mengikut keadaan semasa.

Hospital dan kilang yang dilanda virus ditutup setakat ini, tetapi langkah sekatan pergerakan di Leicester dengan 340,000 pnduduk adalah tindakan pertama diambil dalam skala besar.

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, berkata virus itu perlu dikawal demi menjaga keselamatan setiap orang.

"Tindakan dan langkah tempatan sangat penting sebagai senjata untuk kita berperang dengan penyebaran virus ini dan berusaha mengembalikan negara kita seperti sedia kala," katanya kepada Parlimen.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X