Ahad, 2 Ogos 2020 | 7:34am
SERAMAI 36 kru kapal persiaran MS Roald Amundsen selepas disahkan positif COVID-19. Foto/AFP
SERAMAI 36 kru kapal persiaran MS Roald Amundsen selepas disahkan positif COVID-19. Foto/AFP

COVID-19: 36 kru kapal persiaran disahkan positif

OSLO: Seramai 36 anak kapal dikuarantin di dalam kapal persiaran Norway, MS Roald Amundsen selepas disahkan positif COVID-19, berikutan empat anak kapal lain sebelum itu didapati positif dan dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu.

Pegawai media bandar Tromso, Pal Jakobsen, berkata daripada 158 kru, 36 daripadanya dijangkiti sekali gus menimbulkan kebimbangan kes itu akan meningkat semula di Norway.

Terdahulu syarikat kapal Hurtigruten sebelum ini mengenal pasti 33 orang positif iaitu kesemuanya warga Filipina selain tiga orang dari Perancis, Norway dan Jerman.

"Sebelum ini empat kru yang positif itu diasingkan beberapa hari disebabkan oleh penyakit lain, tetapi tidak mempunyai gejala COVID-19.

"Tidak ada alasan untuk mengesyaki COVID-19 sebaik kapal berlabuh di Tromso berdasarkan simptom yang ditunjukkan," menurut kenyataan syarikat itu.

Kapal itu mempunyai kira-kira 180 penumpang sejak berlepas, pada 25 Julai lalu dan tiada seorang pun dilaporkan mempunyai simptom ketika belayar.

Kemudian semua penumpang diturunkan pada Jumaat lalu tetapi 60 daripadanya dikuarantin di Tromso.

Institut Kesihatan Awam Norway tidak menolak kemungkinan lebih banyak kes muncul tetapi hanya akan diketahui selepas ujian dijalankan, justeru mengesyorkan semua penumpang dikuarantin sementara menunggu keputusan.

Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 9,208 kes disahkan COVID-19 dengan jumlah kematian 256 orang. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X