Sabtu, 22 Julai 2017 | 11:11am

Christchurch diisytihar darurat

WELLINGTON: Darurat diisytihar di Christchurch susulan ribut kuat yang menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan, lebuh raya tersekat dan tentera dipanggil untuk membantu menyediakan perkhidmatan kecemasan.

Pasukan Pertahanan New Zealand menggerakkan askar tambahan tengah malam tadi, menjadikan sekurang-kurangnya 12 trak dan 140 anggota tentera bertugas memberi perkhidmatan kecemasan serta membantu menyelamatkan penduduk yang terkandas dalam banjir.

Christchurch mengisytiharkan darurat selepas Sungai Heathcote melimpah dari tebing dan membanjiri selatan bandar raya berkenaan pagi ini.

Ia menjadi kawasan keempat selepas cuaca buruk yang melanda negara itu sejak 24 jam lalu menyebabkan banjir.

Laporan media tempatan menyatakan kira-kira 1,500 penduduk di beberapa penempatan di utara diarah meninggalkan kediaman apabila paras air meningkat tengah malam tadi, manakala lebih 100 rumah dikosongkan di luar Dunedin, bandar raya kedua terbesar di New Zealand.

Perkhidmatan kecemasan kini memberi tumpuan kepada Sungai Taieri berhampiran Dunedin, selepas ramalan ia akan meningkat kepada paras tertinggi dalam rekod hari ini.

Selain Christchurch dan Dunedin, darurat turut diisytiharkan di Timaru dan Otago.

Perdana Menteri, Bill English, menggunakan media sosial untuk memberi peringatan kepada negara hari ini.

"Saya bersimpati dengan mereka yang terjejas disebabkan cuaca di South Island. Sila ikut nasihat rasmi dan jaga diri," katanya menerusi akaun Twitter. - Reuters

Berita Harian X