Ahad, 15 Oktober 2017 | 10:04am
HARVEY Weinstein.- Foto fail AFP

Academy singkir Harvey Weinstein

LOS ANGELES: Panel Academy menyingkirkan hartawan Hollywood, Harvey Weinstein, susulan peningkatan tuduhan gangguan dan serangan seksual serta rogol terhadapnya.

Mesyuarat tergempar 54 ahli lembaga pentadbirannya, termasuk bintang seperti Tom Hanks, Whoopi Goldberg dan Laura Dern, mengundi melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan, kata badan itu dalam kenyataan.

"Kami tidak sekadar memisahkan diri dengan seseorang yang tidak menghormati rakan-rakannya tetapi juga menyampaikan mesej bahawa era kejahilan yang disengajakan dan pembabitan memalukan dalam tingkah laku pemangsa seksual dan gangguan di tempat kerja dalam industri kita sudah berakhir," menurut kenyataan.

Peningkatan dakwaan muncul sejak penerbitan laporan mengejutkan New York Times minggu lalu mendakwa sejarah tingkah laku Weinstein sejak beberapa dekad lalu.

Khamis lalu, aktres Rose McGowan menjadi wanita keempat menuduh hartawan filem berusia 65 tahun itu merogolnya.

Sementara pelakon kelahiran Britain, Lysette Anthony, menjadi wanita kelima membuat laporan polis mendakwa Weinstein merogolnya, lapor akhbar Sunday Times.

Aktres berusia 54 tahun itu memberitahu Polis Metropolitan minggu lalu beliau pada awalnya bertemu Weinstein di New York, dan bersetuju berjumpa di rumah sewa hartawan itu di London.

"Seterusnya yang saya tahu, dia separuh bogel dan memaksa saya. Saya tidak jangkakan perkara itu dan terus meninggalkan tempat itu," katanya. - AFP

1040 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »