Selasa, 14 November 2017 | 10:21pm
Pelabuhan Hodeida di Laut Merah yang dikuasai pemberontak.. - Foto AFP

PBB enggan layan syarat Arab Saudi

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini menolak tuntutan Arab Saudi supaya pemeriksaan lebih ketat dilakukan di pelabuhan Hodeida di Yaman yang dikuasai pemberontak sebelum menarik balik kepungan.

Pasukan tentera gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak di Yaman, menutup sempadan darat, laut dan udara negara itu seminggu lalu sebagai reaksi kepada serangan peluru berpandu oleh Houthi yang dipintas berhampiran Riyadh.

PBB memberi amaran krisis kemanusiaan di Yaman semakin buruk setiap hari kerana pengangkutan bantuan dihalang.

Duta Arab Saudi ke PBB, Abdallah al-Mouallimi, memberitahu wartawan di New York semalam, pelaburan di wilayah dikawal kerajaan seperti Aden, Mukalla dan Mocha akan dibuka semula, tetapi menuntut pemeriksaan lebih tegas di pelabuhan Hodeida di Laut Merah.

Penyelaras bantuan PBB di Yaman, Jamie McGoldrick, berkata masa sudah suntuk untuk menanti sistem pemeriksaan baharu.

"Impak kemanusiaan mengenai apa yang berlaku di sini ketika ini tidak dapat dibayangkan. Saya tidak rasa perbincangan mengenai pemeriksaan baharu menghalang pembukaan pelabuhan lain.

"Aspek kemanusiaan ini adalah sesuatu yang perlu ditangani secepat mungkin kerana pelabuhan atau lapangan terbang tidak boleh terus ditutup sementara kira menantikan perbincangan mandat pemeriksaan baharu diteruskan," katanya.

McGoldrick berkata, bantuan PBB adalah talian hayat utama bagi kebanyakan penduduk Yaman, tujuh juta daripadanya berisiko kebuluran. - AFP

2014 dibaca
Berita Harian X