Khamis, 7 Disember 2017 | 7:49am
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berucap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bandar New York. - Foto AFP

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan esok

NEW YORK: Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN) akan diadakan esok bagi membincangkan keputusan dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Mesyuarat itu yang diminta diadakan oleh lapan negara anggota akan bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan dan bakal membincangkan beberapa perkara lain.

Presiden majlis berkenaan, Jepun berkata isu mengenai Baitulmaqdis dijangka mula dibincangkan lewat petang sebaik perbincangan beberapa isu lain selesai.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres diminta membuka mesyuarat itu dengan memberikan sedikit ucapan pendahuluan, seperti yang diminta lapan negara terbabit terdiri daripada Bolivia, Mesir, Perancis, Britain, Itali, Senegal, Sweden dan Uruguay.

Guterres selepas pengumuman dibuat Trump itu berkata, status sebenar Baitulmaqdis hanya boleh diselesaikan menerusi rundingan secara langsung antara Israel dan Palestin.

"Tiada sebarang pilihan lain boleh dibuat untuk penyelesaian dua negara," katanya.

Terdahulu, Duta Bolivia, Sacha Sergio Llorenty Soliz menyifatkan tindakan dibuat Trump itu sebagai satu kecuaian, berbahaya dan melanggar perundangan antarabangsa serta resolusi dibuat oleh majlis keselamatan UN.

"Ia satu ancaman bukan saja pada proses damai tetapi kepada keamanan dan kestabilan antarabangsa," katanya. - AFP

2138 dibaca
Berita Harian X