Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:21pm
JACINDA Ardern. - Foto Reuters

2 polis New Zealand dapat anugerah keberanian

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyerahkan anugerah keberanian kepada dua anggota polis dalam majlis tertutup hari ini, sebagai penghargaan kerana menangkap dan menahan lelaki yang dituduh membunuh 51 jemaah di dua masjid, di Christchurch, pada Mac lalu.

Suspek melepaskan tembakan terhadap jemaah di dua buah masjid, selepas itu dia bergerak menuju ke masjid ketiga, ketika itu kedua-dua anggota terbabit bertindak merempuh kereta suspek di tengah jalan dan menahannya.

“Semua pegawai tertanya-tanya bagaimana mereka akan bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi yang boleh membahayakan nyawa mereka.

“Kedua-dua pegawai ini menjawab persoalan itu dengan menunjukkan keberanian yang luar biasa, tindakan mereka melindungi yang lain daripada terus dicederakan, Kata Presiden Persatuan Polis New Zealand, Chris Cahill dalam satu kenyataan.

Sementara itu, penerima anugerah itu berkata, mereka hanyalah sebahagian daripada operasi besar-besaran yang akhirnya membawa kepada penahanan.

“Dalam menjalankan tugas, kami mewakili semua polis di seluruh negara yang sentiasa meletakkan diri mereka dalam bahaya,” kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan polis.

Identiti kedua-dua anggota terbabit dirahsiakan kerana kes itu masih dalam perbicaraan. - Reuters

Berita Harian X