Rabu, 13 November 2019 | 2:13pm
Helikopter digunakan untuk mengebom air dari udara di kawasan terbakar. - Foto AFP

Helikopter terhempas ketika operasi padam kebakaran di Australia

SYDNEY: Sebuah helikopter terhempas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan di utara Australia hari ini dan juruterbang berjaya menyelamatkan diri, hanya mengalami kecederaan ringan, kata pihak berkuasa.

“Helikopter itu terhempas ketika operasi mengebom air dari udara di kawasan terbakar di Pechey, hari ini,” kata jurucakap Perkhidmatan Kebakaran dan Kecemasan Queensland kepada AFP.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland berkata, helikopter penyelamat dikerahkan ke tempat kejadian dan juruterbang yang mengalami kecederaan ringan turut diberikan rawatan.

“Kami memindahkan juruterbang yang mengalami kecederaan ringan ke Hospital Toowoomba,” kata jurucakap itu.

Juruterbang itu ketika ini dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Menurut pasukan bomba, kebakaran yang berlaku di Pechey, utara Toowoomba, berlaku semalam dan keadaan menjadi bertambah buruk.

Pasukan bomba yang berada di kawasan kebakaran berusaha memadamkan api dengan bantuan pengeboman air daripada udara.

Queensland berada pada tahap amaran tinggi ketika keadaan kebakaran semakin teruk, dengan ramalan perubahan angin dijangka memburukkan lagi keadaan hingga menyebabkan kesukaran kemasukan ke negeri terbabit. - AFP

Berita Harian X