Rabu, 20 November 2019 | 3:26pm
Universiti RMIT di Melbourne kerjasamanya dengan [email protected] tamat pada Oktober lalu. Foto hiasan

Dua universiti Australia enggan dikaitkan dengan Putera Andrew

SYDNEY: Dua universiti di Australia bertindak memutuskan hubungan dengan badan kebajikan yang diasaskan oleh Putera Andrew, selepas beliau enggan menyangkal persahabatannya dengan pesalah laku seks, Jeffrey Epstein.

Universiti Bond dan Universiti RMIT di Melbourne berkata, mereka tidak boleh lagi bekerjasama dengan ‘[email protected]’, iaitu badan kebajikan yang diasaskan oleh Duke of York, bagi mempromosi bidang keusahawanan.

“Pengurusan Universiti Bond, Queensland sudah mengkaji semula kerjasamanya dengan ‘[email protected]’ tahun depan, tetapi keputusan itu dilaksanakan lebih awal.

“Susulan peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini, universiti tidak bercadang untuk terbabit lagi dalam aktiviti mereka,” kata jurucakapnya kepada AFP

Sementara itu, Universiti RMIT berkata, pembabitannya dengan ‘[email protected]’ tamat pada Oktober lalu dan tidak akan disambung semula.

“Kami sentiasa berpegang kepada komitmen kami untuk memastikan RMIT menyediakan suasana pembelajaran dan bekerja yang selamat serta inklusif,” kata universiti itu.

Sebuah lagi institusi pengajian di negara itu, Universiti Murdoch pula berkata, mereka sedang meneliti sokongan terhadap acara anjuran [email protected], yang bakal diadakan tahun depan.

Terdahulu, beberapa perniagaan dan universiti di United Kingdom sudah mengumumkan bahawa mereka enggan dikaitkan dengan Putera Andrew dan badan kebajikannya. - AFP

Berita Harian X