Jumaat, 29 November 2019 | 7:18pm
Lebih banyak negara menghantar kakitangan perubatan dan bekalan ke Samoa hari ini untuk memerangi wabak campak di negara itu. - Foto hiasan

Korban campak di Samoa cecah 42

WELLINGTON: Lebih banyak negara menghantar kakitangan perubatan dan bekalan ke Samoa hari ini untuk memerangi wabak campak di negara itu.

Penularan itu memaksa Samoa mengisytiharkan darurat bulan ini apabila angka kematian meningkat kepada 42, kebanyakannya kanak-kanak di bawah usia empat tahun.

Penurunan ketara dalam pengambilan suntikan imunisasi sejak beberapa tahun lalu menjadikan Samoa amat terdedah kepada wabak penyakit itu, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, liputan vaksin di negara itu cuma 31 peratus.

Sekolah ditutup dan usaha vaksin besar-besaran dilancarkan di negara dengan cuma 200,000 penduduk yang terletak di selatan khatulistiwa

antara Hawaii dan New Zealand.

Kerajaan Samoa berkata, cuma 50,068 penduduk mendapat suntikan vaksin.

Kementerian Kesihatan berkata, 3,149 kes campak dilaporkan, dengan 213 dalam masa 24 jam lalu.

Daripada 197 mangsa di hospital, 20 yang sakit kritikal adalah kanak-kanak dan tiga wanita hamil.

Kematian akibat wabak itu kini mencecah 42, majoriti daripadanya kanak-kanak di bawah usia empat tahun, kata kerajaan.

Negara jiran Samoa, New Zealand menghantar lebih banyak bekalan dan kakitangan, termasuk pasukan bantuan perubatan kecemasan, jururawat pemvaksin, pakar penjagaan rapi dan pakar kesihatan berbahasa Samoa. - Reuters

Berita Harian X