Rabu, 5 Februari 2020 | 11:28am

Nike tutup separuh daripada kedai di China

WASHINGTON: Nike semalam mengumumkan penutupan separuh daripada kedai syarikat itu di China, dan mengehadkan waktu operasi, susulan penyebaran wabak coronavirus yang semakin serius.

Wabak berkenaan yang sehingga kini sudah menjangkiti lebih 20,000 orang dan meragut lebih 425 nyawa di China, turut membawa kepada penutupan banyak kedai dan kilang serta pembatalan penerbangan.

Gergasi pakaian dan peralatan sukan itu berkata, penekanan diberikan kepada kesihatan serta keselamatan pekerja, selain kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan.

“Sama seperti pasaran lain, hampir separuh daripada kedai Nike ditutup buat sementara dan turut berdepan jualan yang agak perlahan di kedai yang masih dibuka.

“Dari jangka pendek, kami meramalkan senario ini akan memberi kesan ke atas operasi di China,” kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nike, John Donahoe, berkata Nike akan tetap meneruskan khidmat kepada pelanggan di China, meskipun berdepan situasi yang agak sukar ketika ini.

“Kami akan memberikan laporan terkini berhubung kesan kewangan dalam laporan suku tahun pertama, dijadualkan pada bulan depan,” katanya. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X