Ahad, 9 Februari 2020 | 8:29am
Gambar fail, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap semasa sidang berita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan pada novel coronavirus (2019-nCoV) di Geneva, Switzerland pada 30 Januari 2020 lalu. - Foto REUTERS

Coronavirus: Angka kematian tidak berlaku peningkatan mendadak - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam melaporkan kes kematian harian membabitkan wabak coronavirus, di China berada dalam keadaan stabil.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, ia satu ‘petanda baik’, namun masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada penularan virus itu sudah berada di kemuncaknya.

Ketua Program Kesihatan Kecemasan WHO, Michael Ryan, berkata jumlah kes membabitkan wabak coronavirus di Wilayah Hubei menunjukkan keadaan di sana semakin stabil.

“Dalam empat hari ini, jumlah kes yang dilaporkan dilihat stabil kerana tidak berlaku peningkatan mendadak.

“Ini menunjukkan langkah pengawalan diambil mula menampakkan hasil yang baik, bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan mengenai penularan wabak ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata walaupun trend semasa melaporkan wabak itu dalam keadaan stabil, langkah berjaga-jaga tetap diberi diutamakan.

“Kita bukan sahaja sedang bertarung dengan virus, tetapi turut berdepan dengan teori berunsurkan konspirasi dan troll (sindiran) yang menyebarkan maklumat palsu dan memberikan respon negatif berkaitan wabak ini,” katanya.

Tedros memberi amaran supaya tidak berlaku penyebaran berita palsu mengenai wabak ini kerana ia memberi kesan langsung kepada pekerja kesihatan yang bertungkus lumus untuk membasmi penularannya.

Untuk rekod, setakat ini wabak coronavirus menyebabkan lebih 34,500 penduduk dunia dijangkiti dengan kes kematian melebihi 700 orang. –AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X