Isnin, 10 Februari 2020 | 3:50pm

Ratusan rakyat Thai memperingati mangsa tembakan rambang

NAKHON RATCHASIMA (THAILAND): Ratusan rakyat Thailand menghadiri majlis memperingati kematian 29 mangsa tembakan rambang oleh seorang anggota tentera, dengan menyalakan lilin dan menulis ucapan takziah, manakala sami pula membaca doa pada petang Ahad.

Penyerang terbabit berjaya dibunuh penembak tepat pada pagi Ahad selepas 17 jam tempoh getir di sebuah pusat beli-belah yang menyaksikan pengunjung terperangkap dan pertempuran antara suspek dengan pihak berkuasa keselamatan.

Gabenor wilayah itu memberitahu wartawan, jumlah keseluruhan yang maut termasuk penyerang ialah 30 orang.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha, berkata mangsa terkorban meliputi orang awam termasuk seorang budak lelaki berusia 13 tahun, serta anggota keselamatan yang bertempur dengan suspek yang kecewa dengan masalah hutang.

“Ia belum pernah berlaku di Thailand, dan saya mahu ini adalah kali terakhir krisis seumpama terjadi,” katanya di luar sebuah hospital di mana mangsa kejadian itu, termasuk sebahagiannya dalam keadaan kritikal, sedang dirawat.

Mereka yang menghadiri majlis itu menitipkan mesej di atas kertas putih yang diletakkan di atas tanah, antara lain dengan ucapan ‘Diingati Selamanya’.

Prayut yang juga seorang bekas ketua tentera, menyatakan ‘masalah peribadi’ berkaitan penjualan sebuah rumah menyebabkan anggota askar itu mengamuk sejak petang Sabtu lalu berhampiran kem tentera yang turut dimuat naik melalui laman sosial Facebook oleh suspek.

Penyerang itu yang dikenali sebagai Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, menggunakan senapang dan mesingan M60 yang dicuri dari salah sebuah kem tentera terbesar di Thailand bersama sebuah kenderaan tentera untuk melakukan serangan itu.

Prayut berkata, lelaki itu berjaya menewaskan pengawal keselamatan di gudang senjata berek berkenaan dan ‘kelalaian’ bukan faktornya.

“Kita sama sekali tidak membiarkan depoh senjata tanpa orang - kita ada orang yang mengawalnya,” katanya. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X