Rabu, 12 Februari 2020 | 9:05am
Presiden Palestin Mahmoud Abbas bercakap semasa persidangan berita dengan bekas Perdana Menteri Israel Ehud Olmert (tidak kelihatan) di hotel Grand Hyatt di New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Presiden Palestin Mahmoud Abbas bercakap semasa persidangan berita dengan bekas Perdana Menteri Israel Ehud Olmert (tidak kelihatan) di hotel Grand Hyatt di New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Pelan damai AS macam 'keju Swiss' - Mahmoud Abbas

WASHINGTON: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menolak pelan damai atau ‘Deal of Century’ direncana pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dengan menyifatkan cara pembahagian wilayah sedemikian adalah sangat tidak adil dan berat sebelah.

Katanya, tindakan AS untuk meneruskan pelan alternatif berbanding penyelesaian dua negara dikemukakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) itu akan sekadar menjadikan wilayah Palestin tampak sebagai ‘keju Swiss’ yang berpecah belah.

“Ini negara yang mereka nak beri pada kita. Ia betul-betul kelihatan macam keju Swiss. Siapa antara kamu yang sanggup terima negara sedemikian dengan syarat yang sama bakal dikenakan,” katanya sambil memegang helaian peta rangka pelan damai AS ketika menyampaikan ucaptama sempena sidang UNSC.

Berucap pada himpunan pilihan raya dekat kota Bat Yam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak kritikan yang disuarakan Palestin dan memberi gambaran bahawa wujud kemungkinan negara-negara Arab akan bersetuju dengan pelan AS.

“Ini bukan keju Swiss, sebaliknya pelan terbaik yang pernah dirangka untuk Asia Barat, Israel dan rakyat Palestin juga. Pelan ini memperakui hakikat dan hak rakyat Israel, yang selama ini dinafikan Palestin,” katanya.

Berang dengan perkembangan sedemikian, Abbas menggesa Presiden AS, Donald Trump supaya menarik balik pelan damai berkenaan dan kembali ke meja rundingan untuk meneliti semula pelaksanaan resolusi yang mengetengahkan penyelesaian dua negara seperti dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Demonstrasi Palestin dengan poster Presiden A.S. Donald Trump dicemari kesan tapak kasut, semasa perhimpunan menyokong Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan melawan pelan perdamaian Trump Timur Timur, di Ramallah di Tebing Barat Israel. - Foto REUTERS
Demonstrasi Palestin dengan poster Presiden A.S. Donald Trump dicemari kesan tapak kasut, semasa perhimpunan menyokong Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan melawan pelan perdamaian Trump Timur Timur, di Ramallah di Tebing Barat Israel. - Foto REUTERS

“AS tidak boleh menjadi satu-satunya ‘orang tengah’,” katanya sambil menambah tindakan republik itu menjadi ‘broker’ wajar ditentang bagi mengakhiri kemelut Palestin-Israel, sebaliknya jalan terbaik adalah untuk mengadakan persidangan antarabangsa.

Memberi gambaran insiden tunjuk perasaan secara ganas bakal tercetus, Abbas berkata tempias berskala polemik antarabangsa sedemikian boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru Palestin memerlukan sekelumit harapan untuk muncul sebagai negara berdaulat.

“Tolonglah jangan ambil harapan ini daripada kami. Palestin tidak akan terjerumus ke kancah keganasan walaupun keadaan bertambah parah seperti ini,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X