Rabu, 12 Februari 2020 | 11:29am
Gambar fail, Penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, Robert O’Brien. - Foto AP

COVID-19 rencatkan pembelian produk tani AS oleh China

WASHINGTON: Penularan wabak coronavirus (COVID-19) dikhuatiri berupaya mengurangkan kadar pembelian produk pertanian Amerika Syarikat (AS) oleh China, tahun ini, sekali gus bakal merencatkan fasa pertama perjanjian perdagangan yang dimeterai kedua-dua negara.

Penasihat keselamatan kebangsaan Rumah Putih, Robert O’Brien, berkata fasa pertama itu sepatutnya menyaksikan lebih banyak produk dibeli oleh Negara Tembok Besar berkenaan bagi menampung permintaan domestik di republik terbabit.

Bagaimanapun, katanya, potensi perdagangan dijangka merosot susulan wabak coronavirus yang mula tercetus menerusi jangkitan sesama manusia dan dikesan berlaku di pasar makanan laut dekat Wuhan.

“Kita jangkakan perjanjian fasa pertama akan membuka ruang untuk China mengimport lebih banyak makanan dan melebarkan pasaran kepada petani AS, tetapi peluang seperti ini mungkin tidak berlaku susulan krisis yang berlaku di China.

“Kita jangkakan perdagangan membabitkan produk pertanian antara AS dan China berdepan impak teruk, sekurang-kurangnya untuk tahun semasa,” katanya sempena persidangan Majlis Atlantik.

Fasa pertama perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 15 Januari lalu menggariskan komitmen China untuk meningkatkan pembelian produk komoditi pertanian AS sebanyak AS$40 bilion (RM165.3 bilion) bagi tempoh dua tahun akan datang.

O'Brien berkata China memainkan peranan penting dalam rantaian pembekalan global, justeru tempias daripada penularan wabak COVID-19 berupaya mencetuskan impak negatif terhadap pasaran perdagangan.

“Kita kena tunggu dan lihat sejauh mana kesannya, selain sama ada wujud keperluan untuk mencari pembekal lain. Kita tidak dapat nafikan bahawa virus ini berupaya mencetuskan impak terhadap ekonomi AS dan dunia,” katanya. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X