Isnin, 16 March 2020 | 3:05pm
Tentera Nigeria sedang giat memantau keadaan berikutan enam askar terbunuh dalam satu serangan hendap pengganas Boko Haram. - Foto Reuters
Tentera Nigeria sedang giat memantau keadaan berikutan enam askar terbunuh dalam satu serangan hendap pengganas Boko Haram. - Foto Reuters

6 askar Nigeria terbunuh dalam serangan hendap

LAGOS: Enam askar Nigeria terbunuh dalam satu serangan hendap oleh pejuang bersenjata api di kawasan bergolak di timur laut.

Menurut sumber tentera, penyerang melepaskan tembakan terhadap konvoi askar berdekatan perkampungan Mayanti, berhampiran sempadan Nigeria-Cameroon.

“Kami kehilangan enam tentera dalam serangan hendap dilakukan pengganas Boko Haram,” kata seorang pegawai kepada AFP.

Sumber lain pula memberitahu, konvoi tentera itu dalam perjalanan ke bandar Banki ketika serangan tercetus dengan tembakan bertubi-tubi, selain bedilan peluru pelancar roket (RPG).

Pemberontakan sekian lama oleh pejuang menyebabkan 36,000 orang terkorban dan kira-kira dua juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka di timur laut Nigeria.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadu berhubung peningkatan keganasan di zon konflik berkenaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kemarahan semakin membara dalam kalangan penduduk tempatan susulan kegagalan tentera membendung serangan.

Pihak tentera berulang kali mendakwa bahawa sebahagian besar pemberontakan itu berjaya dipatahkan, namun serangan terhadap orang awam dan askar dilihat terus berlaku hampir setiap hari.

Malah, konflik itu merebak ke negara jiran seperti Niger, Chad dan Cameroon sehingga mendorong pewujudan satu gabungan serantau untuk memerangi pemberontak. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X