Isnin, 30 March 2020 | 9:05am
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

COVID-19: Ekonomi Brazil 'tidak boleh berhenti' kerana COVID-19: Bolsonaro

SAO PAULO: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro memperlekehkan garis panduan 'penjarakan sosial' oleh kerajaan dalam mengekang penyebaran coronavirus (COVID-19) dengan menemui penyokongnya di jalanan dan meminta mereka terus menjalankan aktiviti ekonomi.

Bolsonaro membuat desakan itu melalui beberapa klip video yang disiarkan dalam akaun Twitternya.

Dalam empat video yang disiarkan di akaun Twitternya, Bolsonaro dilihat dikelilingi oleh orang ramai ketika dia berjalan di sekitar ibu kota.

Melalui satu klip video, beliau berkata kepada penjual jalanan; "Apa yang saya dengar daripada orang ialah mereka mahu bekerja."

"Apa yang saya katakan sejak awal ialah kita akan sentiasa berhati-hati, mereka yang berumur lebih 65 tahun tinggal di rumah," katanya.

Sementara itu, seorang penjaja pula dilihat memberitahu Bolsonaro; "Kami tidak boleh diam sahaja...ada perkara yang menakutkan kerana jika anda tidak mati disebabkan penyakit ini, anda akan mati kelaparan."

Bolsonaro pula menjawab; "Anda tidak akan mati!” dan video lain pula beliau berkata; "kembali kepada keadaan normal."

Bolsonaro mempersoalkan tindakan kuarantin yang dikenakan oleh gabenor dan beberapa pemimpin negara di Amerika Selatan sebagai langkah pencegahan yang efektif terhadap COVID-19.

"Jika ia berterusan seperti ini, dengan jumlah pengangguran, apa yang akan timbul adalah masalah yang sangat serius yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

"Brazil tidak boleh berhenti atau kami akan bertukar menjadi Venezuela.

"Sesetengah orang mahu saya diam, ikuti protokol...berapa kali doktor tidak mengikuti protokol? Mari kita hadapi virus dengan realiti, ia adalah kehidupan dan kita semua mesti mati satu hari nanti, " katanya kepada wartawan di luar kediaman rasminya.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Luiz Henrique Mandetta menekankan pentingnya pembendungan sebagai cara memerangi pandemik COVID-19, yang sudah menjangkiti 3,904 orang di Brazil dengan merekodkan 114 kematian.

Bolsonaro menggambarkan COVID-19 sebagai ‘selsema’ dan menyokong pembukaan semula sekolah serta kedai, dengan pengasingan diri dikenakan hanya untuk individu lebih 60 tahun. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X