Jumaat, 8 Mei 2020 | 7:36am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Saintis kesan coronavirus dalam air mani pesakit

WASHINGTON: Kumpulan Saintis China mengesan coronavirus di dalam air mani lelaki yang dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun penyelidikan lanjut perlu dilakukan bagi menentukan sama ada virus berkenaan boleh tersebar melalui hubungan seks.

Penyelidik di Shangqiu Municipal Hospital dekat wilayah Henan itu menjalankan kajian bagi menentukan sama ada virus berkenaan terdapat pada air mani.

Ujian berkenaan dibuat ke atas 38 pesakit positif COVID-19 berusia 15 hingga 50 tahun.

Hasil daripada ujian berkenaan mendapati, bahan genetik daripada coronavirus dijumpai di dalam air mani enam pesakit yang diuji dengan empat daripadanya mengalami masalah pernafasan, manakala dua lagi sudah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, kumpulan penyelidik berkenaan turut mengakui ujian berkenaan membabitkan sampel saiz yang terhad. Justeru kajian lebih mendalam amat diperlukan untuk membuktikan ia benar-benar boleh tersebar melalui hubungan seks.

"Sekiranya kajian ini boleh membuktikan SARS-CoV-2 boleh tersebar secara seksual, ini bermakna hubungan seks mungkin antara bahagian kritikal bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

"Mengelak (daripada melakukan hubungan seks) atau menggunakan kondom mungkin antara langkah pencegahan yang boleh diambil bagi pesakit disahkan positif COVID-19," menurut kajian berkenaan.

Penemuan daripada kajian membabitkan pesakit COVID-19 di hospital di China itu diterbitkan semalam di jurnal perubatan JAMA Network Open.

COVID-19 sebelum ini diketahui boleh tersebar melalui titisan pernafasan atau kontak, selain ia juga dikesan melalui tinja, air liur dan air kencing. – AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X