X
Jumaat, 8 Mei 2020 | 7:54am

COVID-19: Terkini di seluruh dunia

PARIS: Sekurang-kurangnya 266,919 penduduk dunia meninggal dunia akibat COVID-19 sejak wabak itu mula dikesan di China tahun lalu, menurut statistik AFP, semalam mengikut sumber rasmi.

Setakat ini, lebih daripada 3,806,440 kes direkodkan di 195 negara dan wilayah.

Amerika Syarikat negara yang paling teruk terjejas dengan 74,844 kematian, diikuti Britain dengan 30,515, Itali (29,958), Sepanyol (26,070) dan Perancis (25,987).

Dalam perkembangan lain, Perancis sedang melakukan persediaan untuk melonggarkan perintah berkurung pada Isnin ini yang dilaksanakan sejak pertengahan Mac lalu.

Perdana Menterinya, Edouard Philippe, berkata negara itu akan 'dipecahkan kepada dua', dengan empat daripada wilayahnya termasuk Paris akan terus diklasifikasikan sebagai zon merah .

Sementara itu, Perdana Menteri British, Boris Johnson berjanji akan terus mengambil langkah berjaga-jaga secara maksimum walaupun dijangka bakal mengumumkan kelonggaran bagi penguatkuasaan perintah berkurung kepada seluruh rakyat di negara itu, pada petang Ahad ini.

Denmark akan membenarkan pusat membeli belah di negara itu dibuka semula pada 11 Mei ini, sementara kolej, restoran dan tempat beribadat dijangka akan turut dibuka semula seminggu selepas itu.

Norway pula menjangka semua sekolah di negara itu akan dibuka semula pada 11 Mei, manakala bar hanya akan memulakan operasi mulai 1 Jun depan.

Antara lain, di Greece, tapak arkeologi termasuk Acropolis akan dibuka pada 18 Mei, manakala muzium dibuka semula 15 Jun depan.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Mark Lowcoc memberi amaran dunia sedang berdepan 'kesan paling dahsyat dan tidak stabil' berikutan COVID-19, khususnya membabitkan negara miskin.

Justeru, PBB turut mengumumkan rayuan bagi mendapatkan sumbangan dana sebanyak US$4.7 bilion (RM 20.33 bilion) . - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X