Selasa, 19 Mei 2020 | 12:16pm
Petugas kesihatan mengiringi wanita warga emas yang dijangkiti COVID-19 di hospital di Santiago. - Foto AFP
Petugas kesihatan mengiringi wanita warga emas yang dijangkiti COVID-19 di hospital di Santiago. - Foto AFP

Separuh anggota Senat Chile, 4 menteri kena kuarantin

SANTIAGO: Hampir separuh daripada 50 angggota Senat Chile dan empat menterinya dikuarantin berikutan mempunyai kontak rapat dengan tiga rakan sejawat yang dijangkiti (COVID-19), menurut kenyataan rasmi.

Menteri Kewangan, Ignacio Briones dan Ketua Kakitangan Felipe Ward dalam ciapan di Twitternya menjelaskan ujian ke atas mereka menunjukkan negatif, namun perlu menjalani kuarantin sehingga ujian kedua dilakukan.

Briones berkata, beliau menjalani ujian selepas berjumpa dengan Senator Jorge Pizarro yang dijangkiti dan kini turut sudah menjalani tempoh kuarantin.

Akhir minggu lalu, sekurang-kurangnya 20 penggubal undang-undang mula mengasingkan diri selepas berjumpa dengan Pizarro dan sebahagian anggota Senat lain yang dijangkiti virus berkenaan.

Rabu lalu, Chile merekodkan lonjakan sebanyak 60 peratus kes harian biarpun sudah menjalankan langkah pencegahan dan pada minggu lalu, kerajaan mengenakan perintah berkurung sepenuhnya kepada ibu kota Santiago yang mencatatkan kes lebih daripada 80 peratus daripada 46,000 kes keseluruhannya.

Keganasan berlaku pada Isnin lalu di El Bosque iaitu kawasan sesak dan miskin di mana penduduk di situ marah dah melemparkan batu ke arah polis sebelum dibalas dengan gas pemedih mata dan tembakan meriam air.

"Itu bukan disebabkan oleh kuarantin, tetapi bantuan makanan yang d;iminta oleh penduduk sekarang ini," menurut Veronica Abarca yang tinggal di kawasan berkenaan.

Tunjuk perasaan itu berlaku sehari selepas Presiden, Sebastian Pinera mengumumkan akan mengedarkan 2.5 juta bungkusan makanan kepada penduduk miskin di Chile.

Bulan lalu, kerajaan turut mengumumkan akan menyerahkan baucar bernilai kira-kira $300 kepada 4.5 juta penduduk berpendapatan rendah, tetapi wang berkenaan langsung tidak diedarkan.- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X