X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 12:54pm

Penjaga zoo dibaham singa

SYDNEY: Seorang penjaga zoo di Australia mengalami kecederaan kritikal dibaham dua ekor singa hari ini ketika membersihkan kurungan haiwan berkenaan.

Menurut pihak polis, wanita berusia 35 tahun yang cedera parah di kepala dan leher itu diterbangkan ke hospital sejurus selepas tragedi itu di Zoo Shoalhaven, kira-kira 160 kilometer (km) ke selatan Sydney.

Kakitangan perubatan berkata keadaan wanita itu kritikal tetapi stabil.

Zoo Shoalhaven ditutup kepada umum sejak 25 Mac lalu berikutan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut stesen siaran ABC, zoo berkenaan turut menyaksikan serangan buaya pada 2014 apabila pengendalinya diheret memasuki kolam oleh reptilia sepanjang 3.7 meter (m) di hadapan kira-kira 60 penonton.

Dalam kejadian terbabit, buaya berkenaan melepaskan mangsanya, yang hanya mengalami kecederaan manakala polis masih menyiasat kes terbaru ini. - AFP

Berita Harian X