X
Jumaat, 29 Mei 2020 | 8:58pm
Vaksin amat diperlukan bagi memastikan virus dapat dihapuskan sepenuhnya. Foto hiasan
Vaksin amat diperlukan bagi memastikan virus dapat dihapuskan sepenuhnya. Foto hiasan

COVID-19: Kes menurun sukarkan proses uji vaksin

LONDON: Pengeluar vaksin bertindak menyegerakan penghantaran ubat antiviral yang berpotensi bagi merawat COVID-19 berikutan berdepan kesukaran baharu apabila kadar jangkitan wabak itu didapati semakin menurun.

Ia menyebabkan kesulitan bagi menentukan sejauh mana keberkesanan vaksin dihasilkan.

Semalam, Pegawai Eksekutif AstraZeneca Plc, Pascal Soriot, dalam sesi taklimat bersama wartawan berkata, sekiranya wabak itu semakin menunjukkan penurunan di beberapa wilayah, ini bermakna jumlah individu positif COVID-19 tidak mencukupi bagi membolehkan kajian diteruskan.

Kumpulan pengkaji ini mungkin perlu mempertimbangkan sukarelawan yang sihat untuk terdedah kepada virus berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mengambil langkah berkenaan.

"Masalah yang dihadapi adalah kami semakin kesuntukan masa.

"Kes di Eropah semakin menurun, walaupun ia masih berlanjutan antaranya di United Kingdom dan Amerika Syarikat," katanya.

Astra yang membantu saintis di University of Oxford membangunkan vaksin turut bekerjasama dengan berpuluh-puluh syarikat seperti Sanofi, Johnson & Johnson, GlaxoSmithKline Plc and Pfizer Inc untuk menguji keberkesanan antiviral dihasilkan.

Walaupun perintah berkurung yang dilaksanakan banyak membantu bagi mengurangkan kadar jangkitan, kerajaan di negara yang terjejas perlu memastikan virus berkenaan dapat dihapuskan sepenuhnya untuk membolehkan perniagaan dan sekolah dibuka semula.

Sesetengah penularan Sars-CoV-2 adalah kunci untuk menentukan sama ada vaksin itu berfungsi atau sebaliknya.

Ketika ini, kumpulan pengkaji sedang memikirkan di mana dan bagaimana mereka dapat menjalankan kajian yang mampu menghasilkan kejayaan. - BLOOMBERG

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X