Sabtu, 20 Jun 2020 | 11:34am
 Anggota polis mengepung kawasan selepas kejadian tembakan di kawasan perumahan di Auckland pada Jumaat. - Foto AFP
Anggota polis mengepung kawasan selepas kejadian tembakan di kawasan perumahan di Auckland pada Jumaat. - Foto AFP

Lelaki dituduh tembak mati polis hadir di mahkamah

WELLINTON: Seorang lelaki yang terbabit dalam pembunuhan seorang anggota polis tidak bersenjata didakwa di mahkamah dekat Auckland, hari ini.

Bagaimanapun identiti suspek berusia 24 tahun dalam kes yang mengejutkan New Zealand itu tidak didedahkan.

Suspek hanya sekadar mengesahkan namanya namun tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Lelaki itu muncul menerusi siaran video di mahkamah terbabit disebabkan larangan akibat COVID-19.

Pendakwaraya, David Johnstone, memberitahu mahkamah bahawa kes terbabit memiliki kepentingan umum dan memohon perintah supaya nama tertuduh serta anggota polis dan orang awam yang cedera tidak didedahkan.

Beliau berkata, perintah itu penting bagi melindungi integriti siasatan polis berhubung kes terbabit.

Konstabel Matthew Hunt, 28, ditembak mati ketika melakukan rutin kawalan trafik semalam dan kejadian itu mengejutkan seluruh negara.

Mangsa adalah anggota polis ke-23 ditembak mati ketika bertugas sejak tahun 1890 dengan insiden terbaru berlaku pada 10 tahun lalu.

Hunt yang menyertai pasukan polis tiga tahun lalu dan dipindahkan ke bahagian penguatkuasaan trafik baru-baru ini cuba menghampiri sebuah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sebelum suspek melepaskan tembakan.

Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota polis dan orang awam turut cedera.

Dalam pada itu, polis mengesahkan pihaknya sedang mengesan seorang wanita berusia 30-an yang disyaki bersubahat dalam kejadian berkenaan. - AFP

Berita Harian X