Ahad, 21 Jun 2020 | 11:58am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Victoria lanjutkan tempoh sekatan pergerakan

MELBOURNE: Victoria melanjutkan tempoh sekatan pergerakan kecemasan selama empat minggu sehingga 19 Julai ini berikutan negeri itu merekodkan dua digit bagi kes jangkitan dalam komuniti selama lima hari berturut-turut.

Sehingga kini, negeri itu mencatatkan 1,836 kes iaitu satu perempat daripada jumlah kes yang dicatatkan di Australia.

Victoria merekodkan 19 kes baharu jangkitan pada Ahad.

Pada 1 Jun lalu, negeri itu membenarkan perhimpunan sekurang-kurangnya 20 orang, namun bermula Isnin lalu, hanya lima pelawat dibenarkan untuk sebuah rumah, manakala 10 orang bagi perhimpunan di luar.

Menteri Kesihatan negeri, Jenny Mikakos, berkata 210 kes yang direkodkan dipercayai daripada aktiviti kunjung mengunjung oleh ahli keluarga yang mempunyai simptom ringan sejak sekatan dilonggarkan pada 1 Jun lalu.

Menerusi sekatan kecemasan itu, pihak polis akan mengetatkan penguatkuasaan terutama di kawasan pinggir bandar yang menjadi tumpuan ketika musim cuti sekolah.

Menteri Polis Victoria, Lisa Neville berkata, ini bukan masanya untuk leka, sebaliknya perlu memainkan peranan bagi menghentikan penyebaran wabak itu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X