Khamis, 25 Jun 2020 | 1:13pm
Ketua Ekonomi IMF, Gita Gopinath. - Foto AFP
Ketua Ekonomi IMF, Gita Gopinath. - Foto AFP

Krisis COVID-19 memburukkan lagi kebimbangan globalisasi

WASHINGTON: Globalisasi mendapat kecaman hebat di seluruh dunia dan pandemik COVID-19 'mencurah minyak' ke dalam semua kebimbangan itu, kata ketua ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Gita Gopinath, semalam.

Bercakap kepada wartawan, beliau menggesa semua negara berusaha menambah baik sistem, dan terus menyokong proses pemulihan krisis ekonomi yang dicetuskan oleh COVID-19.

"Walaupun sebelum krisis melanda, kami menyaksikan persoalan serius mengenai globalisasi dan manfaatnya. Kami juga menyaksikan peningkatan ketegangan perdagangan dan kini ia semakin memburuk.

"Adalah amat penting untuk semua negara bekerjasama dan kami menggesa agar tiada sekatan eksport dikenakan, contohnya barangan dan peralatan perubatan, kerana ini adalah waktu seluruh dunia memerlukannya. Mereka perlu bekerjasama," katanya.

Beliau berkata, sistem berkenaan tidak sempurna dan memerlukan penambahbaikan, justeru semua negara perlu bekerjasama dalam hal itu.

"Menoleh ke belakang bukan satu strategi untuk membasmi kemiskinan di seluruh dunia. Krisis ini berbeza, sokongan yang diterima begitu pantas, tetap, menepati sasaran dan amat membantu. Saya percaya semua pembuat dasar akan melakukan apa sahaja.

Menurut beliau, sebarang penangguhan dalam membuat tindakan atau keputusan akan menyaksikan dunia berdepan fasa buruk pemulihan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X