Jumaat, 26 Jun 2020 | 10:33pm

Lebih AS$30b diperlukan bangunkan vaksin COVID-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, inisiatif global untuk mempercepatkan pembangunan dan pengeluaran ujian, vaksin dan rawatan COVID-19 akan memerlukan lebih dari AS$30 bilion (RM128.4 bilion) pada tahun akan datang.

Memberikan perincian mengenai apa yang disebut sebagai pemecut ACT, yang dilancarkan pada April dan bertujuan mengumpulkan sumber-sumber antarabangsa untuk menangani pandemik itu, WHO berkata 'kos pelan yang dirancang hari ini memerlukan dana AS$31.3 bilion (RM14.5 bilion).'

Setakat ini, AS$3.4 bilion (RM14.5 bilion) daripadanya telah dijanjikan, katanya, menunjukkan bahawa tambahan AS$27.9 bilion (RM119.4 bilion) diperlukan dalam 12 bulan akan datang, termasuk hampir AS$14 bilion (RM59.9 bilion) untuk menampung keperluan segera.

Pengumuman itu hadir menjelang acara janji besar di Brussels untuk menyokong pemecut ACT, yang dijadual berlangsung esok.

"Ini adalah pelaburan yang berbaloi untuk dibuat," Ngozi Okonjo-Iweala, utusan khas untuk pemecut ACT, memberitahu dalam taklimat maya.

"Sekiranya kita tidak melakukan usaha itu sekarang, kos manusia dan keperitan ekonomi akan semakin mendalam," katanya.

"Walaupun jumlah ini kedengaran seperti besar, ia sebenarnya tidak jika kita memikirkan alternatifnya. Jika kita membelanjakan berbilion sekarang, kita akan dapat mengelakkan berbelanja trilion di kemudian hari.

"Masa untuk bertindak sekarang, dan cara untuk bertindak adalah bersama."

Komen Okonjo-Iweala hadir ketika dunia menyaksikan hampir 490,000 kematian akibat COVID-19 dan lebih 9.6 juta kes virus baharu itu, yang muncul di China akhir tahun lalu, menurut laporan AFP dari sumber rasmi.

Dana yang dipohon itu memungkinkan untuk melaksanakan 500 juta ujian dan 245 juta rawatan untuk negara berpendapatan rendah dan menengah menjelang pertengahan 2021.

Ia juga bertujuan untuk memberikan dua bilion dos vaksin pada akhir tahun depan, yang mana separuh akan diberikan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Sudah jelas bahawa untuk mengawal COVID-19, dan untuk menyelamatkan nyawa, kita memerlukan vaksin, diagnostik dan terapi yang berkesan, dalam jumlah yang belum pernah terjadi sebelumnya dan dengan kecepatan yang belum pernah berlaku sebelumnya," kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X