Isnin, 29 Jun 2020 | 9:56am
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison buka sempadan negeri bagi mengurangkan kadar pengangguran negara. - Foto AFP
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison buka sempadan negeri bagi mengurangkan kadar pengangguran negara. - Foto AFP

Pembukaan sempadan negeri buka peluang pekerjaan

SYDNEY: Australia tetap meneruskan rancangan membuka pintu sempadan negeri dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan walaupun merekodkan peningkatan kes baharu COVID-19.

Perdana Menteri, Scott Morrison, berkata tidak ada sebab pembukaan sempadan tidak boleh diteruskan dalam keadaan banyak pekerjaan boleh ditawarkan.

"Dalam masa yang sama, saya berjanji akan menyediakan lebih banyak pakej rangsangan ekonomi berikutan negara berdepan kemelesetan ekonomi kali pertama sejak 30 tahun lalu dengan kadar pengangguran mencecah 7.1 peratus," katanya.

Bagaimanapun beliau menolak skim subsidi gaji bernilai A$60 billion (RM257.52 bilion) dan akan menggantikannya dengan sokongan fiskal yang disasarkan khusus kepada mereka yang memerlukan.

Setakat ini, Australia selatan dan Tasmania mengesahkan membuka pintu sempadan pada akhir Julai dan Queensland juga dijangka melakukan perkara yang sama.

Sementara itu, kumpulan pemikir bebas, The Grattan Institute, dalam laporannya menyatakan kerajaan memerlukan suntikan sehingga A$90 billion (RM386.28 bilion) untuk pakej rangsangan termasuk program subsidi gaji.

Pakej rangsangan itu perlu sebelum belanjawan tahunan pada Oktober ini bagi menurunkan kadar pengangguran kepada lima peratus pada pertengahan tahun 2022.

Australia sehingga kini berjaya mengawal wabak COVID-19 dengan keseluruhan sekitar 7,700 kes dan 104 kematian.

Namun, jangkitan baharu yang berlaku di Victoria yang berkongsi sempadan dengan New South Wales dan Australia selatan mengundang kebimbangan ketika musim sejuk cuti persekolahan. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X