Isnin, 27 Julai 2020 | 9:49pm
Seekor kucing peliharaan didiagnos menghidap COVID-19, sekali gus menjadi kes pertama membabitkan haiwan di UK dan ia disahkan kerajaan. - Foto hiasan
Seekor kucing peliharaan didiagnos menghidap COVID-19, sekali gus menjadi kes pertama membabitkan haiwan di UK dan ia disahkan kerajaan. - Foto hiasan

Kucing peliharaan dijangkiti COVID-19

LONDON: Seekor kucing peliharaan didiagnos menghidap COVID-19, sekali gus menjadi kes pertama membabitkan haiwan di United Kingdom (UK) dan ia disahkan kerajaan.

Kucing itu dipercayai dijangkiti virus daripada pemiliknya, yang semuanya sudah sembuh sepenuhnya.

Haiwan itu hanya menunjukkan gejala ringan, sekali gus dipercayai tidak menjadi punca menyebarkan penyakit berkenaan kepada pemiliknya atau manusia dan binatang lain.

Ketua Pegawai Veterinar UK, Prof Christine Middlemiss, berkata masih tiada bukti haiwan peliharaan dapat menyebarkan virus itu kepada manusia.

Jangkitan itu disahkan hasil keputusan ujian di Makmal Badan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan (APHA) di Weybridge pada Rabu lalu.

Katanya, kejadian itu sangat jarang berlaku berikutan haiwan dijangkiti sehingga kini hanya menunjukkan gejala klinikal ringan dan sembuh dalam beberapa hari.

"Tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan secara langsung menyebarkan virus kepada manusia. Kami akan memantau situasi ini dengan teliti dan akan mengemas kini panduan kepada pemiliknya sekiranya keadaan berubah," katanya.

Pengarah perubatan di Public Health England, Yvonne Doyle, berkata orang ramai diingatkan supaya sentiasa mencuci tangan selepas bersentuhan dengan binatang peliharaan.

"Ini adalah kes pertama kucing domestik yang positif COVID-19 di UK, tetapi tidak seharusnya diambil ringan.

"Penyelidikan terhadap kes ini menunjukkan jangkitan disebarkan daripada manusia ke haiwan dan bukan sebaliknya.

"Pada masa ini, tiada bukti haiwan peliharaan menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia," katanya.

Kucing peliharaan yang pada mulanya didiagnosis doktor haiwan swasta dengan virus herpes kucing, iaitu jangkitan pernafasan kucing yang biasa, tetapi selepas sampel ia diuji untuk COVID-19 sebagai sebahagian daripada program penyelidikan.

Sampel susulan yang diuji di makmal APHA di Weybridge mengesahkan kucing itu juga dijangkiti COVID-19.

Sehingga kini, terdapat sebilangan kecil kes haiwan yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan di seluruh dunia, termasuk beberapa ekor harimau dan singa di Zoo Bronx di New York. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X