Jumaat, 31 Julai 2020 | 6:53pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Kanak-kanak lebih berisiko menyebar virus - Kajian

WASHINGTON: Kanak-kanak berusia bawah lima tahun mempunyai risiko antara 10 hingga 100 kali ganda terhadap genetik virus COVID-19 di hidung mereka berbanding kanak-kanak lain dan orang dewasa, menurut kajian di Pediatrik JAMA.

Pengarang dalam kajian itu menulis bahawa kanak-kanak kecil berupaya menjadi penyebar utama penularan COVID-19 dalam komuniti, cadangan yang bertentangan dengan situasi semasa.

Bukti itu dilampirkan ketika pihak pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaksa sekolah dan jagaan harian dibuka dalam usaha memulihkan semula ekonomi.

Pada 23 Mac hingga 27 April lalu, penyelidik diketuai oleh Dr Taylor Heald-Sargent dari Hospital Kanak-kanak Ann & Robert H. Lurie, menjalankan ujian sapuan hidung kepada 145 pesakit berusia antara lima hingga 65 tahun di Chicago dengan gejala ringan hingga sederhana dalam tempoh satu minggu bermula.

Hasil ujian itu mendapati jumlah SARS-CoV-2, 10 hingga 100 kali ganda di saluran pernafasan kanak-kanak kecil.

Pengarang turut menyatakan bahawa kajian daripada makmal turut menyaksikan lebih banyak genetik virus, lebih banyak jangkitan virus berlaku, malah kanak-kanak dengan virus pernafasan cenderung menyebarkan penyakit itu.

"Tabiat kanak-kanak kecil dan teman rapat di sekolah serta jagaan harian juga boleh meningkatkan potensi terhadap jangkitan ini berikutan sekatan kesihatan awam semakin longgar," menurut pengarang itu.

Penemuan baharu itu dilihat bertentangan dengan pandangan semasa dalam kalangan pihak berkuasa kesihatan bahawa kanak-kanak kecil tidak mudah jatuh sakit akibat virus itu dan tidak menyebarkannya kepada orang lain.

Bagaimanapun, hanya sedikit kajian mengenai isu itu dilakukan.

Sementara itu, satu kajian di Korea Selatan baru-baru ini mendapati tahap penyebaran COVID-19 oleh kanak-kanak berusia 10 hingga 19 tahun terhadap isi rumah sama banyak dengan golongan dewasa tetapi kanak-kanak di bawah sembilan tahun pula menyebarkannya pada kadar yang lebih rendah. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X