Sabtu, 1 Ogos 2020 | 6:07pm
Pengarah Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci. - Foto AFP
Pengarah Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci. - Foto AFP

Berhati-hati terhadap vaksin China dan Russia - Fauci

WASHINGTON: Anthony Fauci, seorang pegawai tertinggi penyakit berjangkit di Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangannya terhadap keselamatan vaksin COVID-19 yang dibangunkan China dan Russia.

Beberapa syarikat China menjadi barisan hadapan 'perlumbaan' vaksin global, sementara Russia berharap negara itu dapat menjadi nombor satu di dunia dalam menghasilkan vaksin untuk orang awam dengan sasaran tarikh pada September.

Tetapi ubat-ubatan itu mungkin akan menghadapi pemeriksaan yang lebih ketat memandangkan sistem pengawalseliaan di kedua-dua negara amat tidak telus seperti di Barat.

Fauci, ditanya ketika pendengaran kongres sama ada AS boleh menggunakan vaksin dari China atau Russia jika ia tiba terlebih dahulu, memberi gambaran ia tidak mungkin berlaku.

"Saya berharap pihak China dan Russia akan sebenarnya menguji vaksin itu sebelum mereka membenarkan vaksin digunakan sesiapa.

"Saya fikir, dakwaan bahawa vaksin siap diedarkan sebelum anda melakukan ujian, paling tidak ia bermasalah," katanya.

Bulan lalu, media China mengumumkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat CanSino Biologics digunakan untuk mengimunisasi tentera negara itu, menjadikan ia pertama diluluskan untuk manusia walaupun dalam jumlah populasi yang terhad.

Bagaimanapun, banyak saintis membangkitkan kebimbangan dari sudut etika kerana vaksin itu belum memulakan fasa terakhir percubaan.

Dua lagi syarikat China, Sinovac dan Sinopharm masing-masing sudah melancarkan fasa terakhir tiga percubaan di Brazil dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

China di mana virus itu berasal, sebahagian besar berjaya mengawal penularan wabak berkenaan dan kerana itu perlu beralih ke negara lain untuk menguji keberkesanan vaksinnya.

Ujian di Brazil dan UAE akan pantau teliti, memandangkan China pernah terpalit dengan skandal sejarah vaksin dan kesihatan yang lain di negara tembok besar itu.

Pada 2018, lebih 200,000 kanak-kanak diberikan vaksin yang rosak untuk difteria, tetanus dan batuk kokol (DPT) sehingga dalam beberapa kes menyebabkan kelumpuhan . - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X