X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 6:21pm
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. Foto AFP
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. Foto AFP

Kesan COVID-19 akan dirasai sehingga berdekad - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menegaskan bahawa kesan krisis pandemik COVID-19 akan dirasai sehingga beberapa dekad lamanya.

Ia selepas jawatankuasa kecemasan organisasi itu menilai situasi dalam tempoh enam bulan yang membimbangkan susulan penularan wabak COVID-19.

Sejak wabak itu muncul di China pada Disember lalu, sehingga kini hampir 675,000 orang maut, manakala sekurang-kurangnya 17.3 juta dijangkiti, menurut data dikumpul AFP.

Jawatankuasa PBB yang dianggotai 18 ahli dan 12 penasihat, bermesyuarat kali keempat mengenai krisis COVID-19.

"Sangat mustahil untuk berfikir bahawa enam bulan lalu, ketika anda mengesyorkan saya mengisytihar Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), terdapat kurang dari 100 kes dan tiada kematian di luar China," kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

"Wabak ini adalah krisis kesihatan sekali dalam satu abad yang kesannya akan dirasakan selama beberapa dekad yang akan datang."

Jawatankuasa boleh mengemukakan cadangan baharu atau meminda cadangan sedia ada.

Bagaimanapun, tidak ada keraguan bahawa WHO akan mengekalkan status pandemik sebagai PHEIC - tahap penggera tertinggi - pertama kali diumumkan pada 30 Januari lalu.

WHO sebelum ini pernah dikritik keras kerana memerlukan masa lama untuk mengisytihar kecemasan antarabangsa.

Amerika Syarikat (AS) yang menuduh organisasi itu terlalu rapat dengan China, secara rasmi mula menarik diri dari WHO pada Julai lalu.

WHO turut dikecam hebat atas saranan yang dianggap terlambat atau bertentangan, khususnya mengenai pemakaian pelitup muka atau mod penularan virus.

"Banyak persoalan saintifik telah diselesaikan, masih banyak yang harus dijawab," kata Tedros.

"Banyak negara yang percaya bahawa mereka telah melepasi situasi terburuk sekarang sedang menghadapi wabak baharu.

"Beberapa yang kurang dijangkiti pada awal minggu lalu sekarang menyaksikan peningkatan jumlah kes dan kematian. Ada beberapa juga yang dilanda penularan besar, namun terkawal," katanya.

Pelaksanaan perintah berkurung ketat bagi mengekang penularan COVID-19 awal tahun ini mengakibatkan kemelut ekonomi dan hanya vaksin dapat menjadi penyelesaian jangka panjang krisis kesihatan itu.

"Walaupun vaksin sedang dibangunkan dengan kadar cepat, namun kita mesti belajar untuk hidup bersama virus serta kita mesti melawannya dengan apa juga alat yang kita miliki," kata Tedros. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X